Tuesday, November 3, 2009

:: HIMPUNAN UMAT ISLAM ::


Pada 21 oktober yang lalu, Tanah Haram Madinah mula menerima tetamu dari Malaysia. Jemaah haji Malaysia merupakan antara jemaah yang paling awal tiba.


Saban hari, semakin ramai umat Islam dari segenap pelusuk dunia membanjiri Bandar Nabi SAW ini. Mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu menunaikan tuntutan agama iaitu ibadah haji. Kita dapat lihat pelbagai ragam yang dipertontonkan oleh mereka.

Maklumlah, kepelbagaian latar belakang mencorak indentiti masing – masing. Ada yang datang melalui kapal terbang, kapal laut, bas dan kenderaan persendirian.


Bagi mereka yang datang dari negara yang maju dan membangun, sudah pasti menginap di hotel – hotel yang berjenama dan hampir dengan Masjid Nabawi. Setiap pasukan syarikat travel menampilkan gerak kerja masing – masing demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji masing - masing sebagaimana yang dijanjikan. Jemaah haji dan pasukan syarikat travel merupakan duta bagi negara masing – masing kerana mereka membawa nama negara.


Sebagai tuan rumah yang setiap tahun menerima kunjungan, rakyat Arab Saudi bijak menilai negara manakah layak menerima pujian. Mungkin boleh saya kongsikan di sini, pernah satu perjumpaan yang dibuat oleh Raja Arab Saudi dengan duta – duta yang ada di sini dan dalam perjumpaan tersebut, duta Malaysia mendapat pujian secara terbuka kerana negara kita memiliki sistem pengurusan jemaah haji yang terbaik. Dari urusan di negara kita lagi seperti kursus haji sehinggalah di sini seperti penempatan, ziarah tempat sejarah dan kemudahan kaunter pengeluaran wang. Selain faktor hubungan dua hala yang baik di antara dua buah negara, sememangnya rakyat Malaysia sangat beradab dan jarang sekali menimbulkan masalah ketika berada di sini.


Bersama teman – teman sepengajian mengambil peluang untuk berkhidmat dan berdakwah kepada jemaah haji Malaysia khususnya dalam program ziarah tempat – tempat sejarah. Kami bersama – sama para jemaah menziarahi tempat – tempat bersejarah di sekitar Madinah dengan menaiki bas.


Seperti biasa, muqaddimah perjalanan kami mulakan dengan menerangkan kelebihan – kelebihan Madinah yang tidak ada di tempat – tempat lain…


” Tuan – tuan, puan – puan yang dihormati sekalian, pasti kita masih ingat ketika kecil, ibu bapa dan guru – guru kita pernah mengajar sejarah hidup Nabi SAW, bagaimana Nabi SAW dan para sahabat berjuang menegakkan Islam, kita dihidangkan dengan cerita kelebihan Madinah al-Munawwarah. Tuan – tuan dan puan – puan kena sedar, mimpi kita untuk menjejaki bumi yang penuh keberkatan ini menjadi kenyataan. Allah memilih kita dari jutaan hamba-Nya di seluruh dunia yang bercita – cita menjejaki kaki ke tanah suci Madinah ini sekurang – kurangnya sekali seumur hidup tidak mustahil laluan yang kita lalui ini adalah laluan yang sama pernah dilalui oleh kekasih Allah dan para sahabatnya…”

Inilah antara teks yang biasa saya gunakan ketika memulakan perjalanan ziarah. Kadang – kadang ucapan saya terganggu dengan titisan mata jemaah haji.


Hati mana tak tersentuh apabila melihat insan - insan yang membawa harapan besar untuk membuat perubahan dalam hidup. Saya yakin, mereka bertekad untuk mengambil peluang di tanah suci ini untuk bertaubat kepada Allah dan meningkatkan amal ibadah.

Mudah – mudahan amalan mereka di sini dapat diteruskan ketika pulang ke tanah air nanti. Bagi diri saya, suasana seperti ini mengingatkan saya bahawa saya telah dipilih oleh Allah untuk menjadi penduduk Madinah sebagai penuntut ilmu. Maklumlah, bila kita terlalai dengan godaan dunia, kita terlupa nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.


HIMPUNAN UMAT ISLAM…

ya, kita boleh namakan ibadah haji ini sebagai himpunan umat Islam kerana ketika ini jutaan umat Islam dari segenap pelusuk dunia berkumpul semata – mata menunaikan salah satu rukun Islam iaitu Ibadah Haji.


Ibadah ini bukan sahaja memerlukan setiap individu melakukan beberapa pergerakan jasmani seperti tawaf, sai’e, melontar jamrah dan lain – lain, malah memahami falsafah haji itu sendiri. Setiap aktiviti yang dilakukan pasti ada hikmah dan pengajarannya. Antara yang biasa kita dengar ialah hikmah disunatkan memakai ihram berwarna putih.


Tidak kira dia raja atau pun pekerja buruh, dalam ‘program’ ini semua jemaah haji adalah sama taraf. Kita mengharapkan sifat sombong dan bongkak dapat dikikiskan dalam hati kita dan memiliki motivasi dalam hidup bahawa kejayaan di dunia dan akhirat itu tidak terletak pada tingginya pangkat dan banyaknya harta benda. Kalau di Arafah, kita akan menyaksikan manusia sentiasa menadah tangan berdoa kepada Allah sambil teresak – esak menangis.


Teman – teman yang duduk di sebelah langsung tak dihiraukan kerana mengambil peluang keemasan pada waktu yang dimakbulkan doa. Kawasannya yang lapang dan dibanjiri jutaan manusia membayangkan kita suasana di padang mahsyar. Di tempat yang sama lah, umat Islam terdahulu berkumpul ketika Hari Arafah dan berdoa kepada Allah dan ada di antara mereka adalah orang – orang yang soleh.


Saya percaya dan optimis bahawa umat Islam mampu mengembalikan saat kegemilangan selepas selesainya ibadah haji ini tapi dengan syarat mereka benar – benar menghayati falsafah dan pengajaran dari ibadah haji tersebut. Kalau kita fikir – fikirkan, ada tak agama lain yang menganjurkan satu himpunan penganutnya setanding dengan himpunan umat Islam pada musim haji? Tapi kenapa mereka boleh bersatu untuk menghancurkan Islam dari segenap sudut? Kenapa mereka boleh meruntuhkan empayar Islam dan membina empayar mereka sehinggakan kita lemah dari segenap segi?


Kita biasa dengar para jemaah haji kita bercerita tentang pengalaman mereka ketika menunaikan ibadah haji. Ada yang kelakar dan ada juga yang menyedihkan.

Antara cerita yang tidak pernah terlepas ialah perihal sikap sebahagian besar umat Islam dari negara – negara lain.


Kita boleh menyaksikan ada yang mementingkan diri sendiri, menindas orang lain dan mengambil kesempatan terhadap kelemahan dan kelebihan orang lain. Biasanya kita akan dapat lihat antara contoh situasi jemaah yang mementingkan diri sendiri ialah ketika tawaf dan sai’e. Terdapat sebahagian jemaah yang bergerak dalam kumpulan yang besar dan sanggup merempuh jemaah yang lain sehinggakan ada yang terjatuh dan mati akibat dipijak.


Selain dari sudut sikap, terdapat sebahagian umat Islam yang melakukan perkara – perkara yang tidak ada asas dalam agama dan jelas ditegah dalam Islam.Pasti anda terkejut sekiranya mendengar ada sebahagian kecil jemaah haji yang bersetubuh di dalam Masjidil Haram dan ketika bermalam di Muzdalifah! Apa niat mereka? Tak lain dan tak bukan, kononnya untuk mendapatkan keberkatan dan anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak yang soleh. Ini merupakan sebilangan kecil peristiwa – peristiwa yang pelik dan sangat menyedihkan. Kalau fenomena ini berterusan dan umat Islam tidak berusaha untuk mengambil peluang pada himpunan ini bagi membentuk sebuah umat yang terbilang. Mereka sebagai duta bagi negara masing - masing akan pulang ke tanah air dan membuat perubahan…

0 comments:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP