Wednesday, December 2, 2009

:: Banjir Besar Di Jeddah ::

Jeddah, 8 Zulhijjah : Hanya 4 jam hujan lebat mengakibatkan banjir besar dan lebih 55,000 kereta rosak dan dihanyutkan oleh air. setakat ini 120 mayat telah ditemui dan masih ramai lagi mayat yang masih belum dijumpai.

Berikut adalah rakaman peristiwa sebenar yang berlaku di bumi Jeddah.
Innalillahi wa inna ilaihi Raji'un..

peringatan daripada Allah buat manusia di muka bumi ini.Sesungguhnya kita hanyalah hamba,bila-bila masa nikmat yang dianugerahkan ini boleh ditarik balik.
Renungkan wahai sahabat sekalian,bagaimana persiapan kita untuk menghadapi saat kematian?
Kita sendiri tidak mampu menjangka,betapa sebuah negara yang muka buminya diliputi oleh keluasan padang pasir dan kering-kontang,dalam sekelip mata dilanda bah yang amat dahsyat.
Alangkah beruntungnya bagi hamba-hamba yang memikirkan hikmah di sebalik kejadian ini..






































Read more...

Monday, November 23, 2009

:: Taman Ilmu Kedua ::

:: Taman Ilmu Kedua ::

Sudah seminggu saya berada di bumi Mesir yang terkenal dengan gelaran Ardhul Kinanah. Inilah antara jadual saya setelah bergelar suami kepada mahasiswi Universiti al – Azhar. Pantang cuti saja, saya akan meredah langit biru dari Bandar Nabi Muhammad SAW menuju ke negara lembah Nil. Saya dah anggap Mesir sebagai taman ilmu dan pengalaman kedua selepas Madinah . Kebiasaannya saya akan berada di Mesir selama hampir sebulan setiap kali cuti. Cuti kali ini ialah sempena musim haji. Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya diberi peluang untuk bermusafir ke tempat orang sekerap ini dan saya percaya bahawa ini adalah pemberian yang bernilai untuk saya sentiasa berfikir dan mencedok sebanyak mungkin pengalaman untuk dijadikan pedoman dalam hidup.
Teringat saya ketika mula – mula menjejaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada tahun lepas. Suasananya berbeza dengan keadaan di Arab Saudi sama ada dari segi budaya, pakaian mahupun makanan. Walaupun kedua – duanya negara arab dan jarak perjalanannya lebih kurang sejam 45 minit, ianya tidak menjaminkan wajahnya seiras. Alah, seperti suasana negara kita dengan negara jiran walaupun kita serumpun. Kebetulan semasa kali pertama saya tiba di sini, ayahanda saya juga baru tiba dari Malaysia. Ayahanda datang dengan rakan – rakannya untuk tujuan urusan kerja. Jadi, saya dan isteri ambil peluang mengikuti rombongan ayahanda dan perkara paling seronok ialah ketika program sampingan iaitu melawat tempat – tempat sejarah dan perlancongan di sekitar Kaherah dan Iskandariah. Antara peristiwa yang saya tidak boleh lupakan ialah saya tidak mampu berkomunikasi dengan baik apabila bertemu dengan masyarakat Mesir. Bukannya saya tidak biasa bertemu dengan orang Mesir, malah guru al-Quran saya di Masjid Nabawi ialah orang Mesir. Loghat yang digunakan oleh mereka tidak mampu saya fahami dengan jelas dan mereka juga mempersoal kenapa saya tidak menggunakan laras bahasa Arab pasar. Akhirnya, khidmat isteri saya sebagai penterjemah digunakan, terutamanya ketika membeli belah. Tersenyum bangga ayahanda melihat menantunya boleh berkomunikasi dengan masyarakat Mesir.



Saya ‘Mahasiswa al – Azhar’! Seronok bila melabelkan diri sendiri dengan gelaran yang sangat diidamkan oleh kebanyakkan pelajar sekolah agama di negara kita. Apa tidaknya, institusi tersebut merupakan pusat pengajian Islam terulung di dunia dan telah melahirkan ramai sarjana Islam.

Sumbangannya dalam dunia Islam tidak boleh dinafikan dan telah diakui sejak berzaman. Kalau sebelum ini, saya hanya menziarahi beberapa ulama’ di Mansurah iaitu tempat pengajian isteri saya. Syeikh Husin sudah saya anggap sebagai ayah angkat di sini. Kagum melihat kesungguhan beliau mengajar dan mendidik pelajar Malaysia dalam ilmu Qiraat dan ilmu – ilmu lain. Tidak lupa juga nasihat dan motivasi dari Pengetua Ma’ahad Qiraat Mansurah yang menyebabkan saya sentiasa berusaha untuk tidak mengsia – siakan peluang keemasan menuntut ilmu di Madinah al – Munawwarah. Keberadaan saya di Mansurah kali ini akan saya usahakan untuk mendapat lebih dari yang sebelum ini. Bermula minggu lepas, saya telah men’daftar’ sebagai Mahasiswa Fakulti Usuluddin dan Dakwah, Universiti al – Azhar cawangan Mansurah. Setelah mendapat maklumat dan nasihat dari rakan – rakan, saya berjaya menerobos pintu pagar universiti yang tersegam gah itu walaupun dikawal oleh pengawal keselamatan! Seperti yang diberitahu oleh rakan – rakan, biasanya pengawal tidak memeriksa pelajar Malaysia kerana pelajar kita tidak pernah terlibat dengan aktiviti – aktiviti demonstrasi yang biasa dianjurkan oleh pemuda – pemuda Mesir di dalam kawasan universiti.

Ketika berada di kawasan fakulti Usuluddin dan Dakwah, saya tercari – cari kelas yang sudah memulakan sesi pengajian. Saya pun masuk ke sebuah kelas yang pelajar di dalamnya sedang tekun mendengar syarahan yang disampaikan oleh pensyarah. Lagak seperti pelajar rasmi langsung tidak dihidu oleh pensyarah yang sedang mengajar subjek Aqidah itu. Menurut rakan saya yang juga penuntut di kelas tersebut, pensyarah yang sedang mengajar kami itu pernah menjadi dekan di Universiti Islam Imam Saud di Riyadh, Arab Saudi. Kebiasaannya, pensyarah luar yang mengajar di Arab Saudi merupakan pensyarah yang hebat. Sebaik sahaja masa pertama habis, masuk pula pensyarah yang mengajar subjek Metodologi Para Muhadith. Kupasan yang disampaikan oleh pensayarah tersebut padat dan berat membuatkan pelajar terus memberi komitmen yang tinggi. Mereka tidak malu bertanya apabila tidak faham dan pensyarah tidak berat mulut untuk mengulanginya. Melihat semangat para pelajar terutamanya pelajar tempatan cukup mengagumkan saya. Lebih – lebih lagi apabila saya dimaklumkan bahawa sebahagian daripada mereka datang dari perkampungan yang jauh dan perjalanan menuju ke universiti mengambil masa sehingga dua jam. Mereka sanggup datang ke dewan kuliah setiap hari walaupun boleh dikatakan hampir semua pensyarah tidak mengambil kehadiran. Melihat gelagat mereka yang kebudak – budakkan seperti berlari dalam kelas dan ada yang berjalan atas meja membuatkan saya terpinga – pinga dan tersenyum . Mungkin disebabkan kedudukan kerusi dan meja yang begitu rapat menyebabkan mereka menggunakan cara pintas untuk mudah bergerak. Kalau di negara kita, pasti orang macam tu kita tak lantik sebagai imam atau ustaz…

Ilmu dan umat Islam…Islam adalah agama yang benar. Agama ini pernah merekodkan dalam lipatan sejarah bahawa dunia ini telah dikuasainya. Antara sebab mengapa Islam boleh berbangga dengan kepesatan pengaruhnya di merata tempat ialah kerana kepesatan ilmu - ilmunya. Ilmu sebagai elemen yang sangat penting untuk manusia memandu kehidupan ini demi mencari keredhaan Allah SWT. Kegemilangan yang dikecapi oleh umat Islam diakui oleh dunia barat dan mereka sanggup merendah diri untuk sama – sama menumpang kekuatan tersebut. Tapi disebabkan kelalaian umat Islam dan kesungguhan orang kafir, akhirnya ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh umat Islam telah bertukar tangan. Lihatlah situasi umat Islam sekarang yang sentiasa ditindas. Ilmu yang ada pun tak mampu dipraktikan secara menyeluruh dalam kehidupan. Kita dapat saksikan betapa ramai cendekiawan Islam dilahirkan tetapi idea – idea dan saranan - saranan mereka langsung tidak mendapat tempat di hati – hati pihak yang mempunyai autoriti untuk menguruskan sistem kehidupan. Kesan sekularisme yang menebal dalam masyarakat Islam menyebabkan pengaruh agama dikesampingkan dan diletakkan dalam kelas kedua. Oleh yang demikian, marilah sama – sama kita berusaha untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan kita hendaklah bergabung tenaga untuk mempraktikan segala ilmu yang kita ada demi menegakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi…


Read more...

Saturday, November 21, 2009

:: SEBAIK-BAIK HARI ::


Tatkala orang Muslim bertemu dengan hari – hari yang mulia, maka mereka akan mengambil kesempatan sebaik - baiknya untuk meningkatkan amal ibadat mereka. Mereka bertemu dengan hari – hari yang dijanjikan pelbagai kelebihan – kelebihan itu dengan keazaman yang benar untuk bersungguh – sungguh memenuhinya dengan perkara - perkara yang diredhai Allah.

Barangsiapa yang membenarkan Allah maka Allah akan membenarkannya:

Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut Ayat 69 yang bermaksud :
" Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.."
( Surah Al-Ankabut:69)



:: KELEBIHAN SEPULUH HARI PERTAMA ZUL-HIJJAH::

Firman Allah dalam Surah Al-Fajr Ayat 1-2 yang bermaksud :
1- "Demi fajar,
2- "Dan malam yang sepuluh.." ** (Surah Al-Fajr:1-2)


**malam yang sepuluh itu ialah malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan. dan ada pula yang mengatakan sepuluh yang pertama dari bulan Muharram termasuk di dalamnya hari Asyura. ada pula yang mengatakan bahwa malam sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah.

*Pendapat yang mengatakan malam sepuluh itu ialah malam pertama bulan Zul-Hijjah ialah dari Ibnu Kathir dan boleh merujuknya dalam tafsir al-Quran alAzim oleh Imam Ibnu Kathir.

Nabi SAW bersabda yang mafhumnya:
" Tiada hari-hari yang amalan soleh dilakukan padanya lebih Allah suka daripada hari – hari sepuluh ini." Maka berkata para sahabat: "Wahai Rasulullah, tidakkah jihad di jalan Allah? " Maka Nabi SAW berkata: " bukan jihad di jalan Allah kecuali seseorang yang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak pulang daripadanya dengan sesuatu. "
(Bukhari dan Abu Daud dan lafaz Abu Daud)



Sebahagian ulama berkata:
~ Sepuluh hari pertama Zul-Hijjah adalah sebaik – baik hari dalam setahun dan malam – malamnya lebih baik daripada malam – malam sepuluh terakhir Ramadhan kecuali Lailatul Qadar.


::JENIS-JENIS AMALAN SOLEH PADA 10 HARI PERTAMA ZUL-HIJJAH ::
1. Perbanyakkan amalan soleh seperti bertaubat nasuha, baca al-Quran, perbanyakkan
sedekah dan infaq kepada golongan miskin, menyeru kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran, segerakan amalan fardhu, segera ke saff awal, perbanyakkan amalan – amalan
sunat dan lain – lain lagi. Lakukanlah semua ini pada hari – hari mulia ini dan hari – hari lain
.

2. Berpuasa pada hari – hari ini atau setakat yang mampu sebagai memasukinya dengan amalan
yang soleh.
3. Menunaikan umrah dan haji.
4. Perbanyakkan zikrullah dan di antaranya ialah dengan cara bertakbir, bertahlil dan
bertahmid.


Sebahagian riwayat dalam hadith yang bermaksud:
…" Maka perbanyakkan di dalamnya dengan tahlil, takbir dan tahmid."( Riwayat Ahmad)

Disunatkan untuk menzahirkan takbir di masjid – masjid, rumah – rumah, jalan – jalan,
pasar – pasar dan di mana – mana sahaja.


Telah berkata Imam Bukhari ra:
" Ibnu Umar dan Abu Hurairah pernah keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zul-Hijjah sambil bertakbir dan orang sekeliling turut serta bertakbir"
( dicatat oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya)

~ Takbir terbahagi kepada dua jenis iaitu mutlak dan muqaiyad.
~Takbir mutlak ialah
mengalunkan takbir pada setiap waktu malam dan pagi bermula dari mulanya masuk Zul-
Hijjah sehinggalah akhir hari – hari tasyriq (hari ke-13 Zul-Hijjah).

~Manakala takbir muqaiyad ialah mengalunkan takbir selepas setiap kali solat fardhu bermula dari solat Subuh pada Hari
Arafah (9 Zul-Hijjah) sehinggalah solat Asar pada 13 Zul-Hijjah.

~Terdapat beberapa lafaz atau bacaan dalam takbir dan di antaranya ialah apa yang dinyatakan oleh Ibnu Mas’ud ra iaitu:
الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله و الله أكبر الله أكبر و لله الحمد



::’IDUL ADHA::
Hari Raya ‘Idul Adha merupakan salah satu perayaan yang dianjurkan dalam Islam. Umat Islam diseru untuk meraikannya dengan penuh kegembiraan sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT. Ketika kita meraikannya, adab dan hukum – hukum berkenaan dengannya hendaklah dijaga. Di antara adab dan hukum – hukum ketika menyambut perayaan ‘Idul Adha ialah:


1. Kita diharamkan untuk berpuasa pada hari tersebut dan pada hari – hari tasyriq (11-13 Zul-
Hijjah) sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW.
2. Segerakan solat sebagaimana sabda Nabi SAW pada hari Raya ‘Idul Adha yang bermaksud:
" Sesungguhnya perkara pertama yang kami mulakan pada hari kami ini ialah dengan kami
bersolat…"
( Bukhari).
3. Bertakbir. Disunatkan bagi lelaki untuk menguatkan laungan takbir di masjid – masjid, pasar – pasar, rumah – rumah dan selepas solat sebagai mengagungkan Allah serta menunjukkan
pengabdian dan tanda kesyukuran.
4. Memakai pakaian yang terbaik dengan tanpa membazir.

Telah berkata Ibnu Qaim ra:
"Nabi SAW pernah memakai untuk keduanya (Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha) dengan pakaian yang paling cantik dan Nabi SAW memiliki Hullah (pakaian cantik) yang dipakai ketika kedua – dua hari raya dann hari Jumaat. Ibnu Umar pula mandi untuk menyambut kedua – dua hari raya tersebut." (Kitab Zaadul Ma’ad).
5. Manakala perempuan pula disyariatkan untuk keluar ke tempat solat dengan tidak berhiasan
dan berwangian.
6. Disunatkan solat di tempat solat raya iaitu di kawasan lapang sebagaimana yang pernah
dilakukan oleh Nabi SAW kecuali sekiranya terdapat keuzuran seperti turunnya hujan maka
solatlah di masjid.
7. Sekiranya hari raya itu jatuh pada hari Jumaat maka diringankan kepada sesiapa yang pergi
solat hari raya untuk tidak hadir ke solat Jumaat dan tunaikanlah solat Zuhur pada waktunya.
Sesungguhnya mengambil hukum ‘azimah iaitu pergi solat Jumat bersama para jemaah
adalah lebih baik sebagaimana yang dinyatakan dalam banyak hadith berkenaan perkara
tersebut.


::SIFAT SOLAT HARI RAYA 'IDUL ADHA::
~Solat sunat Hari Raya ‘Idul Adha mengandungi dua rakaat.
~Pada rakaat pertama terdapat tujuh kali takbir (tidak termasuk takbiratul ihram) dan lima kali takbir(tidak termasuk takbir perpindahan) sebelum bacaan al –Faatihah.
~Imam akan menguatkan bacaan.
~Khutbah akan berlangsung setelah selesainya solat. Digalakkan hadir ketika khutbah dan mengambil pengajaran daripadanya.
~ Jalan yang bertentangan. Digalakkan pulang dari tempat solat dengan melalui jalan selain
dari jalan yang dilalui ketika hendak ke tempat solat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh
Nabi SAW.
~Sembelihan korban dijalankan setelah selesainya solat sunat Hari Raya ‘Idul Adha.
~Digalakkan untuk mempamerkan kegembiraan hari raya dengan permainan dan nyanyian yang dibenarkan.( sunyi dari seni kata yang berunsur cinta dan kata – kata yang tidak elok).
~Menjamu tetamu dengan makanan pada hari tersebut dan hari – hari tasyriq.


Read more...

Tuesday, November 3, 2009

:: HIMPUNAN UMAT ISLAM ::


Pada 21 oktober yang lalu, Tanah Haram Madinah mula menerima tetamu dari Malaysia. Jemaah haji Malaysia merupakan antara jemaah yang paling awal tiba.


Saban hari, semakin ramai umat Islam dari segenap pelusuk dunia membanjiri Bandar Nabi SAW ini. Mereka mempunyai matlamat yang sama iaitu menunaikan tuntutan agama iaitu ibadah haji. Kita dapat lihat pelbagai ragam yang dipertontonkan oleh mereka.

Maklumlah, kepelbagaian latar belakang mencorak indentiti masing – masing. Ada yang datang melalui kapal terbang, kapal laut, bas dan kenderaan persendirian.


Bagi mereka yang datang dari negara yang maju dan membangun, sudah pasti menginap di hotel – hotel yang berjenama dan hampir dengan Masjid Nabawi. Setiap pasukan syarikat travel menampilkan gerak kerja masing – masing demi memberi perkhidmatan yang terbaik kepada jemaah haji masing - masing sebagaimana yang dijanjikan. Jemaah haji dan pasukan syarikat travel merupakan duta bagi negara masing – masing kerana mereka membawa nama negara.


Sebagai tuan rumah yang setiap tahun menerima kunjungan, rakyat Arab Saudi bijak menilai negara manakah layak menerima pujian. Mungkin boleh saya kongsikan di sini, pernah satu perjumpaan yang dibuat oleh Raja Arab Saudi dengan duta – duta yang ada di sini dan dalam perjumpaan tersebut, duta Malaysia mendapat pujian secara terbuka kerana negara kita memiliki sistem pengurusan jemaah haji yang terbaik. Dari urusan di negara kita lagi seperti kursus haji sehinggalah di sini seperti penempatan, ziarah tempat sejarah dan kemudahan kaunter pengeluaran wang. Selain faktor hubungan dua hala yang baik di antara dua buah negara, sememangnya rakyat Malaysia sangat beradab dan jarang sekali menimbulkan masalah ketika berada di sini.


Bersama teman – teman sepengajian mengambil peluang untuk berkhidmat dan berdakwah kepada jemaah haji Malaysia khususnya dalam program ziarah tempat – tempat sejarah. Kami bersama – sama para jemaah menziarahi tempat – tempat bersejarah di sekitar Madinah dengan menaiki bas.


Seperti biasa, muqaddimah perjalanan kami mulakan dengan menerangkan kelebihan – kelebihan Madinah yang tidak ada di tempat – tempat lain…


” Tuan – tuan, puan – puan yang dihormati sekalian, pasti kita masih ingat ketika kecil, ibu bapa dan guru – guru kita pernah mengajar sejarah hidup Nabi SAW, bagaimana Nabi SAW dan para sahabat berjuang menegakkan Islam, kita dihidangkan dengan cerita kelebihan Madinah al-Munawwarah. Tuan – tuan dan puan – puan kena sedar, mimpi kita untuk menjejaki bumi yang penuh keberkatan ini menjadi kenyataan. Allah memilih kita dari jutaan hamba-Nya di seluruh dunia yang bercita – cita menjejaki kaki ke tanah suci Madinah ini sekurang – kurangnya sekali seumur hidup tidak mustahil laluan yang kita lalui ini adalah laluan yang sama pernah dilalui oleh kekasih Allah dan para sahabatnya…”

Inilah antara teks yang biasa saya gunakan ketika memulakan perjalanan ziarah. Kadang – kadang ucapan saya terganggu dengan titisan mata jemaah haji.


Hati mana tak tersentuh apabila melihat insan - insan yang membawa harapan besar untuk membuat perubahan dalam hidup. Saya yakin, mereka bertekad untuk mengambil peluang di tanah suci ini untuk bertaubat kepada Allah dan meningkatkan amal ibadah.

Mudah – mudahan amalan mereka di sini dapat diteruskan ketika pulang ke tanah air nanti. Bagi diri saya, suasana seperti ini mengingatkan saya bahawa saya telah dipilih oleh Allah untuk menjadi penduduk Madinah sebagai penuntut ilmu. Maklumlah, bila kita terlalai dengan godaan dunia, kita terlupa nikmat yang Allah kurniakan kepada kita.


HIMPUNAN UMAT ISLAM…

ya, kita boleh namakan ibadah haji ini sebagai himpunan umat Islam kerana ketika ini jutaan umat Islam dari segenap pelusuk dunia berkumpul semata – mata menunaikan salah satu rukun Islam iaitu Ibadah Haji.


Ibadah ini bukan sahaja memerlukan setiap individu melakukan beberapa pergerakan jasmani seperti tawaf, sai’e, melontar jamrah dan lain – lain, malah memahami falsafah haji itu sendiri. Setiap aktiviti yang dilakukan pasti ada hikmah dan pengajarannya. Antara yang biasa kita dengar ialah hikmah disunatkan memakai ihram berwarna putih.


Tidak kira dia raja atau pun pekerja buruh, dalam ‘program’ ini semua jemaah haji adalah sama taraf. Kita mengharapkan sifat sombong dan bongkak dapat dikikiskan dalam hati kita dan memiliki motivasi dalam hidup bahawa kejayaan di dunia dan akhirat itu tidak terletak pada tingginya pangkat dan banyaknya harta benda. Kalau di Arafah, kita akan menyaksikan manusia sentiasa menadah tangan berdoa kepada Allah sambil teresak – esak menangis.


Teman – teman yang duduk di sebelah langsung tak dihiraukan kerana mengambil peluang keemasan pada waktu yang dimakbulkan doa. Kawasannya yang lapang dan dibanjiri jutaan manusia membayangkan kita suasana di padang mahsyar. Di tempat yang sama lah, umat Islam terdahulu berkumpul ketika Hari Arafah dan berdoa kepada Allah dan ada di antara mereka adalah orang – orang yang soleh.


Saya percaya dan optimis bahawa umat Islam mampu mengembalikan saat kegemilangan selepas selesainya ibadah haji ini tapi dengan syarat mereka benar – benar menghayati falsafah dan pengajaran dari ibadah haji tersebut. Kalau kita fikir – fikirkan, ada tak agama lain yang menganjurkan satu himpunan penganutnya setanding dengan himpunan umat Islam pada musim haji? Tapi kenapa mereka boleh bersatu untuk menghancurkan Islam dari segenap sudut? Kenapa mereka boleh meruntuhkan empayar Islam dan membina empayar mereka sehinggakan kita lemah dari segenap segi?


Kita biasa dengar para jemaah haji kita bercerita tentang pengalaman mereka ketika menunaikan ibadah haji. Ada yang kelakar dan ada juga yang menyedihkan.

Antara cerita yang tidak pernah terlepas ialah perihal sikap sebahagian besar umat Islam dari negara – negara lain.


Kita boleh menyaksikan ada yang mementingkan diri sendiri, menindas orang lain dan mengambil kesempatan terhadap kelemahan dan kelebihan orang lain. Biasanya kita akan dapat lihat antara contoh situasi jemaah yang mementingkan diri sendiri ialah ketika tawaf dan sai’e. Terdapat sebahagian jemaah yang bergerak dalam kumpulan yang besar dan sanggup merempuh jemaah yang lain sehinggakan ada yang terjatuh dan mati akibat dipijak.


Selain dari sudut sikap, terdapat sebahagian umat Islam yang melakukan perkara – perkara yang tidak ada asas dalam agama dan jelas ditegah dalam Islam.Pasti anda terkejut sekiranya mendengar ada sebahagian kecil jemaah haji yang bersetubuh di dalam Masjidil Haram dan ketika bermalam di Muzdalifah! Apa niat mereka? Tak lain dan tak bukan, kononnya untuk mendapatkan keberkatan dan anak yang bakal dilahirkan akan menjadi anak yang soleh. Ini merupakan sebilangan kecil peristiwa – peristiwa yang pelik dan sangat menyedihkan. Kalau fenomena ini berterusan dan umat Islam tidak berusaha untuk mengambil peluang pada himpunan ini bagi membentuk sebuah umat yang terbilang. Mereka sebagai duta bagi negara masing - masing akan pulang ke tanah air dan membuat perubahan…

Read more...

Thursday, September 17, 2009

:: QISAS DI MADINAH ::



Birrrrr… birrrrr…! Sedang asyik mendengar apa yang disyarahkan oleh syeikh, tiba2 vibrate handphone bergeletar dan menyababkan ana terkejut dibuatnya. Rupa - rupanya, sahabat ana yang membuat panggilan. Ana pun minta izin dari syeikh untuk menjawab paggilan.” Anta dah tau esok ada Qisas?,” sahabat ana bertanya.” Esok ada Qisas? Buat kat sebelah Baqi’ ke? Ana mendapatkan kepastian. Dia pun menjawab,”ha’ah, nta ajaklah sahabat-sahabat nta. Ana dah ada group untuk ke sana. InsyaAllah start pukul 10 pagi tapi kalau boleh datang pukul 9 pagi sebab orang ramai sangat.” Setelah menamatkan perbualan, ana terngiang-ngiang dengan berita yangg disampaikan oleh sahabat ana tadi. Lalu ana cuba mendapatkan kepastian dari Syeikh Khalid ad-Duwaish yg sedang mengupas kitab Hadith 40 Imam Nawawi yang kami talaqi b’samanya setiap minggu.” Na’am,insyaAllah,” beliau menjawab. Kemudian kami teruskan pengajian kami yang sudah sampai hadith ke-21. Sepanjang perjalanan pulang ke hostel, ana masih lagi terfikir – fikir tentang satu upacara prestij yang sudah lama ku ingin saksikannya dengan mata kepalaku sendiri. Selama ni, tengok dalam klip video je. Waktu dah menunjukkan hampir jam 1.30 pagi tapi mataku masih belum boleh terlelap.”Nak ponteng kelas ke,tak nak? Ah, aku takkan lepaskan peluang keemasan ni! Lagi pun, aku tak pernah ponteng kelas tanpa bersebab sblm ni,” ku bisik dalam hati.

Setelah solat subuh di Masjid Universiti Islam Madinah yang diimamkan oleh pelajar dari Yaman yg memiliki suara lunak dan setanding dengan Abdullah Fahmi AQ itu, ana pun cuba mencari sahabat – sahabat yang ingin menyertai projek ana iaitu menuju ke tempat yang akan melaksanakan salah satu hukum Allah iaitu Qisas. Selesai sahaja waktu pertama, ana pun terus keluar kelas dan pulang ke hostel untuk bersiap-siap. Lebih kurang 9.15 pagi, ana bersama sahabat ana iaitu abg Azhar dan abg Hakim bergegas menuju ke tempat upacara tersebut. Hati ana semakin berdebar – debar. Bukan disebabkan tak mampu menyaksikannya, tapi tak sabar menyaksikan satu peristiwa yang membuktikan tanda keimanan umat Islam yang akur dengan perintah Allah Ta’ala. Setibanya kami di sana, orang ramai sudah mula berpusu – pusu. Masing – masing mencari posisi yang strategik agar tidak terlepas peluang yang sangat jarang berlaku di muka bumi Allah ini. Kawasannya lapang dan dipagari oleh dinding yg tingginya hampir mencecah dua meter. Pelbagai ragam yg dipertontonkan oleh orang ramai. Ada dikalangan mereka yg bertenggek di dinding, memanjat pokok kurma, berdiri di atap bangunan, atap kereta dan macam – macam lagi. Pasukan polis telah disusun segenap pelusuk bagi mengawal keadaan. Kedudukannya juga yang berhampiran dengan Tanah Perkuburan Baqi’ iaitu kawasan perkuburan bagi penduduk Madinah dan sesiapa sahaja yang meninggal dunia di Madinah, termasuklah para jemaah haji dan umrah membuatkan suasana peristiwa itu lebih hidup.

Jam sudah hampir menunjukkan angka 10. Ana masih teraba – raba mencari tempat tinggi kerana bahagian hadapan telah dipenuhi sejak jam 8.30 pagi lagi. Akhirnya, kereta orang yg menjadi mangsa. Dari atas kereta tersebut ana hanya mampu melihat empat orang lelaki yang bakal dipenggal kepalanya dan beberapa orang lelaki yang lagaknya sebagai pendekar dan di sisinya sebilah pedang arab iaitu rupa bentuknya yang melengkung seperti pedang aladdin. . Sebagaimana yang telah diceritakan, mereka yang bakal menerima hukuman tersebut telah memecah masuk rumah majikannya dan mencuri harta benda yang terdapat di dalam rumah tersebut. Bukan sekadar itu sahaja, mereka juga telah merogol kaum hawa yang merupakan penghuni rumah tersebut dan akhir sekali mereka membunuh insan – insan yang ada di dalamnya. Wallahhu a’lam…Matahari terus memancarkan sinarannya yang begitu terik. Walaubagaimana pun, ianya tidak mematahkan semangat pengunjung yang telah lama berdiri selama berjam – jam! Beberapa buah ambulans masih menanti waktu untuk sekujur tubuh diusungkan ke dalamnya dan juga kepada para pengunjung yang dijangkakan pengsan. Tepat jam 10 pagi, seorang pegawai telah menyampaikan ucapan yang sayup – sayup bunyinya. Keempat – empat pesalah yang matanya diikatkan dengan kain putih dan dipakaikan dengan jubah berwarna putih tanpa berkolar itu duduk dalam keadaan seperti duduk antara dua sujud. Suasana semakin tegang dengan laungan takbir. Tak lama kemudian, pedang yang diangkat dengan ketinggian sederhana itu laju membelah leher pesalah pertama. Tersentak jantung ana melihatnya..GAGAL! Hayunan pertama tidak sempurna menyebabkan pesalah yang sedang menggelupur itu diangkat sepantas kilat untuk menerima hayunan kali kedua. Ana tak pasti implikasinya dari sudut hukum. Orang ramai semakin kalut kerana ada di kalangan mereka yang masih tidak berpeluang menyaksikan peristiwa sebentar tadi sehinggakan berlakunya tolak menolak. Tanpa melengahkan masa, pegawai yang diamanahkan untuk memenggal para pesalah pada hari itu terus menghayun pedang ke arah leher pasalah kedua. Darah memancut ke atas dan kepalanya tergolek! Dan begitu jugalah yang diterima oleh pesalah ketiga. Mungkin disebabkan bunyi tetakan dan pancutan darah pesalah itu, pesalah terakhir telah meraung ketakutan. Tetapi ianya langsung tidak menggugat pegawai yang bertanggung jawab untuk menyelesaikan amanahnya itu. Subahanallah…Ana seolah – olah tidak percaya yang ana telah menyaksikan peristiwa penuh prestij itu dan ianya berlangsung selama lebih kurang 10 minit. Orang ramai pun mula beransur – ansur pulang dan ada juga yang masih kurang puas hati kerana tidak dapat menyaksikan dengan jelas cuba melihat mayat – myat tersebut diusung ke dalam ambulans. Terdengar juga berlaku sedikit kekecohan kerana ada pengunjung yang pengsan setelah menyaksikan peristiwa tersebut. Tanpa melengahkan masa, kami pun terus pulang ke universiti kerana waktu kuliah masih berbaki.


Setelah memohon maaf daripada syeikh yang sedang mengajar al – Quran atas kelewatan masuk ke kelas, ana pun duduk di tempat ana. Fikiran ana masih terbayang – bayang episod yang ana lalui sebentar tadi sehinggakan ana langsung tidak menghiraukan sahabat – sahabat yang sedang memperdengarkan ayat – ayat suci al –Quran. Tiba – tiba, “ Iqra’ ya Muhammad!” Ana tersentak dan terus membaca ayat hafazan yang telah diamanahkan sejak seminggu yang lepas. Madah yang seterusnya ialah Sirah Nabawiyah dan pada hari itu, syeikh menyampaikannya dengan baik tetapi seribu kali sayang, ianya langsung tidak menarik minat ana untuk memberi tumpuan sepenuhnya. Setelah menunaikan solat Zuhur, ana berfikir seorang diri. Hebatnya peristiwa yang telah ana lalui pada hari itu. Sebuah masyarakat Muslim di Madinah membuktikan nilai keimanan mereka dengan akur perintah Allah Ta’ala walaupun mereka tahu bahawa Islam mengiktiraf darah seseorang Muslim itu mahal nilainya.. Tapi, mengapakah sebahagian besar negara Islam masa kini masih tidak mempraktikkan hukum Hudud dan Qisas? Bukan mereka tak tahu bahawa hikmah hukum ini dilaksanakan iaitu diantaranya ialah mendidik manusia agar takut melakukan jenayah. Ada yang mengatakan tidak sesuai dilaksanakan di dalam sebuah negara yang berbilang agama dan bangsa. Ada yang juga mengatakan masyarakat Islam masih jahil tentang perlaksanaan hukum Allah ini. Sampai bila baru nak faham? Sedangkan terdapat sesetengah negara Islam yang telah menyusun silibus pengajian Islam di negaranya dengan menyembunyikan tajuk – tajuk tertentu seperti jihad dan sebagainya. Kalau macam inilah keadaannya, sampai hari Qiamat pun umat Islam tak akan tahu keindahan agama yang dianutinya. Satu ketika dahulu, ada segelintir yang lantang memperjuangkan hukum Hudud dan Qisas. Tak lama kemudian, ada pulak yang berpendapat agar tidak perlu kerap melaungkan matlamat tersebut kerana ia boleh menakutkan masyarakat umum. Ada juga benarnya pendapat tersebut, cuma apa yang membimbangkan ana ialah takut – takut, tak ada siapa yang berani memperjuangkan salah satu hukum Allah yang suci itu.

Oleh itu, marilah sama – sama kita fikirkan nasib agama kita ini. Semoga kita terus istiqamah di atas jalan yang benar dan menjadi orang yang cemerlang di dunia dan akhirat..TAKBIR!!!

Kisah ini dirakamkan sekitar awal tahun 2007. Semoga ianya dapat memberi kekuatan kepada kita untuk menegakkan hukum Allah di bumi Malaysia yang tercinta...

- asshik madani -

Read more...

Thursday, September 10, 2009

:: SALAM TAARUF ::

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar semua? Saya harap sahabat sekalian dalam keadaan sihat dan bahagia selalu.
Menyedari bahawa tanggungjawab untuk berdakwah itu adalah wajib kepada semua umat Islam dan tanggungjawab itu berdasarkan tahap kemampuan dan kesesuaian individu Muslim itu, maka saya mengambil langkah untuk bersama - sama dengan pendakwah - pendakwah lain untuk menggunakan semaksimum mungkin teknologi yang ada demi menyebarkan Agama Islam yang murni ini.
Hasrat untuk memiliki blog peribadi sudah lama terbuku di hati ini, tetapi masa dan kesediaan untuk memilikinya belum tiba. Alhamdulillah, blog yang serba ringkas ini berjaya dihasilkan oleh isteri saya yang tercinta.
Saya harap dengan adanya medium tanpa sempadan ini, dapat memberi sedikit sumbangan kepada gerak kerja dakwah kita ini. Semoga ianya dapat memberi manfaat kepada kita semua dan yang paling penting menjadi muhasabah si pemilik blog ini.
Saya juga berharap sahabat sekalian dapat memberi teguran yang membina agar usaha murni ini benar-benar memberi manfaat kepada kita semua...

Read more...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP