Thursday, August 5, 2010

MAJLIS BACAAN AL-QURAN EKSKLUSIF BERSAMA JUARA AKADEMI AL-QURAN MUSIM PERTAMA, ABDULLAH FAHMI


MARILAH SAMA - SAMA KITA HAYATI ALUNAN BACAAN AYAT SUCI AL-QURAN DAN MENGENALI ILMU - ILMU QURAN SEPERTI QIRAAT, TAFSIR, KELEBIHAN AL-QURAN ADN BANYAK LAGI...

JANGAN LEPASKAN PELUANG BERSAMA IKON REMAJA MASA KINI, ABDULLAH FAHMI, JUARA AKADEMI AL-QURAN MUSIM PERTAMA!!!

Read more...

Friday, May 21, 2010

:: Forum dan Futsal ::

Forum Anjuran Mahasiswa/i UTM Skudai Sempena Lawatan/Umrah Sambil Belajar di Arab Saudi.
Tarikh: 18 Mei 2010 (Selasa)
Tempat: Hotel Sharq Manazili, Madinah al-Munawwarah.
Tajuk: 'Peranan Mahasiswa Dalam Membentuk Masyarakat Khairul Ummah'


Bersama panel dari UTM, Us. Syed Nor Hafiz

Dipengerusikan oleh Us.Abdul Aziz b Abbas (UIM)

Suasana forum






Futsal 2010.
Tarikh: 19 Mei 2010
Tempat: Istirohah Takuma, Madinah al-Munawwarah.


Sesi bergambar


Aktiviti regangan


Taklimat sebelum perlawanan

Read more...

Friday, May 14, 2010

:: Berjuanglah Wahai Sahabatku!!! ::


Bismillahirrahmanirrahimm...

Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam,yang mengurniakan kita dua nikmat yang agung iaitu Iman dan Islam.Semoga dengan nikmat ini menjadikan kita hamba yang lebih bersyukur di sisiNya.

Sahabat-sahabat UIM yang dirahmati Allah sekalian.

Menyelusuri sejarah ketamadunan Islam,kita dapat menyaksikan bahawa umat Islam dipilih oleh Allah SWT sebagai suatu umat yang hebat.Dalam masa yang singkat,mereka berjaya menguasai dunia dengan ilmu dan tamadun.

Philip K.Hitti pernah menukilkan kata-katanya di dalam “The History of Arabs”,

“Orang Islam Sepanyol berjaya mencatat sejarah keintelektualan yang agung pada zaman pertengahan dahulu.Mereka sebenarnya pembawa obor budaya dan tamadun bagi seluruh dunia terutamanya antara abad kelapan dan tiga belas Masihi.”

Pada hari ini,kita melihat gelombang pemikiran manusia semakin mencapah dan berkembang.Seiring dengan revolusi-revolusi yang berlaku,kita kini berada pada suatu tahap yang mewajibkan kita untuk keluar dari kepompong dan memandang dunia luar dengan penuh rasa amanah dan bertanggungjawab.
Amanah dan tanggungjawab ini diterjemahkan melalui elemen ketaqwaan kita selaku hamba kepada Allah serta tidak melupakan konsep “Hablumminannas” yang kita praktikkan setiap hari.

Mahasiswa para pendokong Risalah Nubuwwah,

Kita maklum bahawa mahasiswa adalah kelompok pemikir, pengkaji, pencetus dan penjana idea baru lantas sekali gus memikul tanggungjawab sosial yang besar. Tanpa perlu dirangka logiknya, siswazah sudah sedia memahami bahawa mereka adalah elemen yang berkesan di dalam menyampaikan kehendak dan mesej perubahan, sama ada dari pihak masyarakat, mahu pun oleh pihak pemerintah sendiri.

Kita bakal melalui fasa ikhtibar yang akan menguji sejauh mana tahap keilmuan kita dan tahap kefahaman yang telah kita pelajari di medan kuliah setiap hari.Ikhtibar juga adalah suatu fasa masa untuk menterjemah serta menatijahkan hasil usaha kita yang bersungguh-sungguh menadah kitab,mendalami ilmu,mencedok pengalaman serta menggali sedalam-dalamnya khazanah ilmu di bumi bertuah Rasulullah SAW ini.

Renungkan para sahabat,

Di bumi Madinah ini tercatat era sejarah penurunan wahyu yang agung kepada Baginda Nabi Muhammad SAW.Di tanah ini juga pernah terlukis derapan-derapan kaki para sahabat yang sangat teruja apabila dikhabarkan berita telah turunnya wahyu dari Allah.Ketika itu,mereka bergegas bertemu Nabi dengan niat yang satu,ingin menghafaz Ayat-Ayat Al-Quran yang mulia dan mengikatnya erat di dalam hati seterusnya diamalkan secara bersungguh-sungguh di dalam kehidupan.


Sinergi keikhlasan dan keilmuan yang tegar bertamu di hati para sahabat ini sewajibnya mengalir di dalam urat nadi kita selaku penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah SAW di bumi barakah ini.
Kita dihamparkan dengan nikmat yang terlalu luas,dapat menuntut ilmu di bumi kecintaan Rasulullah SAW dan umat Islam, ditemukan dengan terlalu ramai para masyaikh sebagai penunjuk jalan, justeru sewajarnya kita memikul amanah sebagai penuntut ilmu dengan penuh etika dan tanggungjawab.

Formula kecemerlangan Zulkarnain,seorang tokoh yang telah disebutkan penceritaannya di dalam Al-Quran menggambarkan kepada kita bahawa seseorang individu perlu mempinyai misi yang jelas tentang apa yang ingin dicapai di dalam kehidupannya.Menyoroti motivasi kejayaan Zulkarnain,wawasan dan misi yang jelas yang ingin dicapai adalah menguasai dunia bagi menegakkan kebenaran dan keadilan.Justeru,perancangan yang rapi dilonjakkan ke tahap global dan melalui strategi demi strategi yang terkawal rapi.Dengan memiliki kompas hidup iaitu Taqwa kepada Allah SWT, Zulkarnain menggabungkan elemen-elemen ini dengan diiringi keyakinan yang tinggi kepada Allah SWT sebagai Zat Yang Maha Kuasa untuk menurunkan pertolongan dan kejayaan. Akhirnya Zulkarnain berjaya mengukir kegemilangan.

Mahasiswa-mahasiswa UIM harapan ummah sekalian,

Kejayaan bukanlah semata-mata dinilai melalui ketajaman ilmu dan fikiran di dalam bidang akademik, bahkan dinilai melalui kemurnian akhlak dan syakhsiah kita selaku bakal ulama' pewaris Nabi.

Di dalam suasana kita berlumba-lumba mengulangkaji ilmu dan pelajaran,jangan dilupakan seruan untuk terus menyampaikan dakwah. Dakwah kita ialah dakwah yang bernafas panjang dan tidak rigid atau tertumpu kepada suatu masa atau tempat yang tertentu sahaja.

Firman Allah yang bermaksud :
“Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal Soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh Yang lain). Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau hajatkan)”[Al-Inshirah 94 : 7-8]

Sebagai anak muda yang bakal beraksi menggegar dunia, persiapkanlah diri kita dengan ilmu,pengalaman dan laluilah kehidupan seharian kita dengan azam yang teguh untuk sentiasa meledakkan ketaqwaan kita kepada Allah.

Semoga usaha dan amalan kita diterima sebagai amalan soleh di sisi Allah.

Salam perjuangan dari ana!

Read more...

Sunday, May 9, 2010

:: Pelajar Malaysia di Arab Saudi Jalani Kursus Protokol ::

Pelajar Malaysia di Arab Saudi jalani kursus protokol
09/05/2010 10:18am


KUALA LUMPUR 9 Mei - Semangat 1Malaysia merentasi sempadan negara disemarakkan lagi di kalangan pelajar Malaysia di Arab Saudi melalui kursus pengurusan organisasi yang julung kali diadakan.

Kursus dua hari anjuran bersama Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Jordan dan Persatuan Pelajar Malaysia Madinah itu diadakan di Universiti Islam Madinah pada Rabu dan Khamis lepas.

Pengarah MSD Jordan Haji Sulaiman Ismail berkata, pensyarah universiti itu Prof. Dr. Abdul Karim Ibrahim AlGhudayh, yang juga Mufti Masjid Nabawi memuji usaha tersebut kerana dapat menambah pengetahuan para pelajar.

“Beliau yang mewakili rektor universiti telah turut mengikuti sebahagian daripada slot kursus dan mencadangkan semua bahan kursus diterjemah ke dalam bahasa Arab untuk dikongsi bersama pelajar-pelajar lain universiti itu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi e-mel hari ini.

Sebanyak lapan kertas kerja telah dibentangkan merangkumi aspek pengurusan organisasi, penulisan surat rasmi, tatacara pengurusan kewangan, protokol pengurusan majlis, pengacaraan majlis rasmi, penyediaan aturcara pentadbiran majlis, penyediaan teks juruacara majlis, etiket menjawab telefon dan etiket di meja makan.

Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Madinah, Mohamad Ashik Abu Hanifah berkata, kursus itu memberikan input berguna kepada pelajar khususnya dalam aspek pengurusan persatuan dan pendedahan mengenai protokol dan etiket sosial. - Bernama

Sumber:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm







Read more...

Wednesday, May 5, 2010

:: Kursus Pengurusan Organisasi dan Protokol ::


Tempat : Dewan Belakang Mat'am Jamiah.
Masa: 8a.m - 4p.m

Read more...

Monday, April 19, 2010

:: Hukum Menggunakan Inhaler Ketika Berpuasa ::

Soalan :
"Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap athma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?"

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;


Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum.

Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ ataupun Qiyas yang Sahih.

[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, Soalan no. 1]

[Disalin dari bukuAl-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq]

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id

Read more...

Tuesday, March 16, 2010

:: Lawatan Rasmi Ke Konsulat dan Lawatan Balas ke Makkah ::



Bergambar kenangan bersama sebahagian konsul



JEDDAH, 11 March - Barisan wakil Mahasiswa Malaysia Madinah telah membuat lawatan rasmi ke Konsulat Malaysia di Jeddah dan pada hari yang sama membuat lawatan balas ke wakil Mahasiswa Malaysia Makkah di Makkah. Siri lawatan tersebut disertai seramai sebelas orang mahasiswa dan dimulakan dengan mengerjakan ibadah umrah. Pertemuan dengan pihak konsulat yang memakan masa lebih kurang tiga jam tersebut telah dimanfaatkan dengan sebaiknya terutamanya untuk mengetahui kaedah berurusan di antara mahasiswa dengan pihak konsulat. Ini kerana sebelum ini pihak mahasiswa hanya berurusan dengan konsul pendidikan dan pada pertengahan tahun lepas pos tersebut ditutup dan menyebabkan pihak mahasiswa sukar untuk berurusan dengan pihak konsulat.

Sebelum menunaikan umrah



Menyampaikan kata alu -aluan



Mendengar taklimat di konsulat



Pada sebelah malamnya, pihak rombongan patah balik ke Makkah untuk mengadakan kunjungan balas bersama wakil Mahasiswa Malaysia Makkah. Pada pertemuan tersebut kedua - dua pihak merancang untuk melaksanakan program bersama dan bertukar - tukar fikiran berkenaan usaha meningkatkan kemampuan ahli masing - masing dalam pelbagai bidang. Pihak rombongan berharap agar kunjungan terhadap kedua - dua pihak tersebut dapat meningkatkan kerjasama dan melicinkan segala aktiviti yang telah dirancangkan.






* Lawatan sahabat - sahabat Makkah ke Madinah, boleh layari:


http://syahiryusof.blogspot.com/2010/01/xpdc-madinah-pertemuan-pertama.html

Read more...

Sunday, March 14, 2010

:: Pertemuan Mahabbah Bersama Rektor Universiti ::

Prof. Dr. Muhammad bin 'Ali al-'Uqla
Rektor Universiti Islam Madinah
Assalamualaikum wbt.
Sahabat - sahabat Mahasiswa Malaysia Universiti Islam Madinah,

Alhamdulillah, hasrat untuk mengadakan pertemuan mahabbah bersama rektor universiti, Prof.Dr. Muhammad bin 'Ali al-'Uqla tercapai setelah mendapat perkenan dari beliau. Pertemuan khas tersebut akan diadakan sejurus selepas Pertemuan Tahunan Rektor Univ. Bersama Pelajar Univ. Islam Madinah.

Berikut ialah maklumat mengenai pertemuan tersebut:

Tarikh: 21 March 2010 ( AHAD )

Masa: Selepas Solat Isyak

Tempat: Dewan Besar Universiti

Pakaian: Jubah Putih.

Saya harap para mahasiswa Malaysia dapat hadir ke pertemuan yang bersejarah tersebut. Semoga hubungan mahasiswa Malaysia dengan pihak universiti dapat ditingkatkan lagi.

* Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.


Read more...

Wednesday, March 10, 2010

:: Mengeluarkan Darah Dari Orang Yang Berpuasa ::

Soalan : Adakah mengambil sedikit darah di siang bulan Ramadhan untuk pemeriksaan perubatan atau derma darah membatalkan puasa ?

Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;

Jika seseorang mengambil sedikit darah yang tidak menyebabkan tubuhnya lemah, maka hal itu tidak membatalkan puasanya. Darah boleh diambil samada untuk pemeriksaan kesihatan atau pemindahan darah kepada orang lain (blood transfusion) ataupun untuk didermakan kepada seseorang yang memerlukannya.

Tapi jika pengambilan darah itu dalam jumlah yang banyak yang menyebabkan lemah tubuh badan, maka hal itu membatalkan puasa. Hal ini diqiyaskan kepada berbekam yang telah ditetapkan oleh As-Sunnah bahawa hal itu membatalkan puasa. Berdasarkan hujah ini, seseorang yang tengah melaksanakan puasa wajib, seperti puasa Ramadhan, tidak boleh mendermakan darah dalam jumlah banyak, kecuali apabila terpaksa (darurat). Kerana dalam keadaan ini bererti dia telah batal puasanya sehingga dibolehkan makan dan minum pada baki hari tersebut. Kemudian dia mengqadha pada hari lain di luar bulan Ramadhan.

[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, pertanyaan no. 2]

Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/

Read more...

Sunday, February 28, 2010

:: Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ::




Setibanya saya ke Mesir pada awal bulan Februari tahun lepas, Pesta Buku Antarabangsa Mesir baru sahaja melabuhkan tirainya. Hasrat untuk menyaksikan pesta buku yang terbesar di dunia sebagaimana yang dikatakan itu tidak kesampaian. Walaubagaimana pun, pada tahun ini saya sempat mengunjungi pesta buku tersebut. Betapa girangnya hati saya apabila menjejaki tapak pesta tersebut. Maka benarlah apa yang dikatakan orang, sungguh luas kawasannya. Biasanya pesta buku anjuran Universiti Islam Madinah (UIM) hanya memerlukan dua buah khemah besar dan Pesta Buku Antarabangsa Arab Saudi memerlukan lebih kurang empat atau lima khemah besar. Tetapi di Mesir sungguh dasyat kerana kalau tidak silap saya, jumlah khemah yang digunakan lebih dari sepuluh buah khemah!
Saya dan isteri mengikuti rombongan yang dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Mansurah ke pesta tersebut. Seperti dijangka, satu hari tidak cukup untuk mengunjungi kesemua khemah yang ada. Oleh yang demikian, pada minggu yang berikutnya saya dan isteri pergi sendiri ke pesta buku tersebut. Antara target utama saya ialah untuk membeli Kitab Mausu’ah Fiqhiah al-Kuwaiti, cetakan Kementerian Waqaf dan Urusan Islam Kuwait, 45 jilid. Saya menjangkakan ianya lebih murah berbanding yang dijual di Arab Saudi. Saya dah servey harga kitab tersebut di Madinah dan harga paling murah yang saya dapati ialah di Maktabah Darul Nasihah iaitu hampir RM1,300. Malangnya kitab tersebut gagal saya temui di pesta buku tersebut. Akhirnya saya membeli beberapa buah kitab karangan ulama’ terkenal iaitu Prof. Dr. Yusuf al –Qardhawi, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili dan Syeikh Sa’id Hawa.
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili
Syeikh Said Hawa
Sempat juga saya singgah ke khemah dari Arab Saudi dan semestinya saya singgah ke bahagian pameran milik UIM. Alangkah terkejutnya saya apabila terserempak dengan rektor universiti UIM iaitu Prof.Dr. Muhammad bin Ali al – ‘Uqla.
Prof. Dr. Muhammad bin Ali al-'Uqla
Alhamdulillah, beliau masih mengenali saya. Beliau merupakan seorang yang sangat dikagumi oleh Mahasiswa UIM kerana perwatakannya yang sentiasa merendah diri dan mudah didekati. Sejak beliau mentadbir UIM kira – kira 2 tahun lepas, banyak perubahan yang telah dilaksanakan. Perubahan paling ketara ialah mehidupkan seminar – seminar dan ceramah – ceramah yang dihadiri oleh ulama’ terkenal sama ada dari dalam Arab Saudi mahu pun dari luar Arab Saudi. Selain dari itu, kemudahan asas dan kebajikan pelajar semakin lama semakin bertambah baik. Sebelum saya pulangkan ke Madinah, saya terjumpa Kitab Mausu’ah Fiqhiah di Maktabah al – Fayath, Mansurah. Setelah menghubungi sahabat saya Us.Ghazali yang juga merupakan pakar menilai jenis kitab, akhirnya saya beli juga kitab tersebut dengan harga lebih kurang RM490 kerana ia merupakan kitab yang telah diulang cetak dan kertasnya tidak sekualiti kitab asalnya. Us.Ghazali kata, kitab yang ana beli tu harganya lebih murah berbanding kitab yang sama jenis yang dijual di Arab Saudi.
“ Bacalah…” Ayat al – Quran yang pertama diturunkan menganjurkan kepada kita agar membaca kerana ia adalah permulaan untuk meneroka ilmu keluasannya tak terkata. Siapa yang mengejar ilmu, nescaya ilmu akan memeliharanya. Barangsiapa yang hanya mengejar wang semata – mata, maka beban dia untuk menjaga wang tersebut semakin bertambah. Ilmu yang dimiliki dan diamalkan menjadi penyebab kepada seseorang itu dimuliakan. Bermula dari sekarang, ke mana – mana sahaja kita berada, sekurang – kurangnya sebuah buku mesti ada di tangan. Ingat…" di celah – celah masa itu, ada ‘masa'." Sedang kita menunggu Star LRT, bermusafir, menunggu ceramah bermula, masih ada ruang untuk kita membaca. Oleh itu, marilah kita sama - sama MEMBUDAYAKAN AMALAN MEMBACA !!!

Read more...

Tuesday, February 16, 2010

:: Qisas, Mati Hidup Kembali ::

Oleh : DR. ISMAIL IBRAHIM

Pemuda Hamdan Al-Kaabi tidak pernah terlintas di dalam kepalanya bahawa pada pagi ia dibawa ke dataran Al-Bihar di kota Abha, kira-kira seribu kilometer dari Riydh, ibu kota Arab Saudi, untuk menerima hukuman mati kerana kesalahan membunuh ibu saudaranya dua tahun lalu, tiba-tiba akan terjadi sebaliknya, dan dia akan terlepas daripada hukuman itu.

Dia telah berada di dalam tahanan selama dua tahun yang lalu, kerana dia telah membunuh ibu saudara sebelah emaknya disebabkan oleh satu pertelingkahan keluarga. Dia didapati bersalah membunuh dengan sengaja dan dengan niat membunuh oleh mahkamah. Rayuannya mengikut proses perundangan telah selesai, dan semua peringkat mahkamah telah menetapkan hukuman mati (qisas) ke atasnya, malah telah ditandatangani oleh raja.

Pagi itu, hari Selasa 12 Disember 2006, sebelum waktu subuh, iaitu sebelum ia di bawa ke dataran Al-Bihar, untuk menjalani hukuman “memotong kepala” seperti yang biasa dijalankan di dataran tersebut bagi kesalahan membunuh, iaitu dengan hukuman qisas, ia terperanjat kerana tiba-tiba dua orang pegawai keselamatan datang berjumpa dengannya dan meminta dia mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sebilik dengannya di dalam penjara itu.

Tidak lama kemudian, dia telah dibawa ke kamar pengarah penjara, dan diberitahu bahawa masanya telah tiba untuk ia menjalani hukuman menurut hukum syariah pada pagi itu. Ia tidak pun diberitahu tentang perlaksanaan hukuman ini sebelum ini. Waktu itu barulah ia terkenang beberapa rentetan peristiwa yang berlaku kepadanya pada malam sebelumnya. Pertama sekali, ia teringatkan perubahan yang berlaku kepada ayahnya ketika ia menghubunginya untuk bertanya khabar seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Bapanya menangis dengan teramat sangat ketika mengucapkan salam kepadanya di dalam telefon, dan dengan itu ia bercakap dengan ibunya pula, maka hal yang sama dilakukan oleh ibunya, yang amat sebak mengucapkan kata-kata akhir kepadanya di dalam telefon itu. Sebelum ini mereka berdua sering berbicara dengan nada yang biasa sahaja setiap kali dia menghubungi mereka melalui telefon.

Maka pada malam itu selepas menamatkan percakapan telefon dengan ibu bapanya, Hamdan merasakan bahawa mungkin masanya telah hampir untuk dia pergi buat selama-lamanya daripada alam dunia ini, iaitu dengan menjalani hukuman mati yang telah dijatuhkan kepadanya. Dia berasa amat gelisah, dan terus tidak dapat melelapkan matanya. Pada pagi subuh itulah, pengawal keamanan datang menemuinya dan memberitahunya tentang hukuman yang akan dijalankan kepadanya pada hari itu juga.

Hamdan merupakan seorang pesalah yang dikenakan hukuman qisas kerana membunuh. Qisas adalah hukuman bunuh balas mengikut kesalahan yang dilakukannya. Dia membunuh ibu saudaranya, maka dia sendiri harus dibunuh. Telah dua tahun dia meringkuk di dalam penjara, menunggu proses perundangan, dan setelah selesai semuanya maka hukuman itu haruslah dijalankan, supaya hutang nyawa tertebus dengan bayaran yang sama.

Sebelum menjalani persiapan akhir untuk menerima hukuman di dataran yang telah dipenuhi oleh orang ramai yang ingin menyaksikan hukuman ini, Hamdan telah diminta menulis wasiatnya yang terakhir.

Dia meninggalkan wasiat supaya keluarganya mengerjakan haji untuknya, menasihati adiknya supaya tidak terlibat dengan teman-teman yang menyeleweng, mendermakan semua organ badannya untuk para pesakit yang memerlukannya, tetapi diwasiatnya secara khusus supaya buah pinggangnya didermakan kepada salah seorang teman banduannya yang mengalami sakit buah pinggang.

Hamdan menghadapi semua persiapan pada pagi itu dengan tenang, dan dia menyerahkan dirinya kepada Allah yang Maha Kuasa, berpuasa semenjak dia diberitahu tentang pelaksanaan hukuman ini sebelum subuh tadi. Dia tentunya teringat bahawa masanya telah tiba untuk dia membayar hutang nyawanya kepada ibu saudaranya yang dibunuh itu.

Qisas mesti dijalankan mengikut hukuman Islam setelah semua keterangan dan bukti disabitkan tanpa keraguan. Malah di dalam undang-undang sekular yang kita amalkan juga, peruntukan hukuman bunuh adalah termaktub dan tetap akan dilaksanakan setelah kes itu dapat dibuktikan di dalam proses perbicaraan di semua peringkat mahkamah.

Ketika Hamdan dibawa ke dataran Al-Bihar untuk menjalani hukuman, ia dirantai, berjalan dengan serba kepayahan dan pemikirannya buntu sama sekali, yang diingatnya ialah mati sahaja. Peristiwa yang akan berlaku ini disaksikan oleh ramai sanak saudara dan penduduk tempatan, semuanya mempunyai perasaan yang bercampur aduk, kasihan, simpati, gerun dan takut, ataupun berserah sahaja kepada Allah yang menetapkan hukuman ini.

Antara orang ramai yang berada di dataran tersebut terdapat bapa saudaranya sendiri, yang juga bernama Hamdan dari keluarga Al-Umri. Bapa saudaranya ini ialah abang kepada ibu saudaranya yang dibunuhnya itu, dan dia juga adalah wakil keluarga si mati, yang mewakili semua ahli keluarganya dalam kes qisas ini.

Dalam hukuman qisas, keluarga mangsa, mempunyai kata terakhir, iaitu sama ada akan mengampunkan pesalah atau tidak. Sekiranya keluarga mangsa bersetuju untuk mengampunkan pesalah, dengan beberapa syarat atau tanpa syarat, maka dengan itu si pembunuh akan terlepas daripada hukuman.

Namun sehingga ke saat-saat akhir, wakil mangsa, iaitu bapa saudara pembunuh, Hamdan Al-Umri, yang sedang melihat anak saudaranya dibawa ke tempat pelaksanaan hukuman, tetap mengatakan bahawa ia tidak akan mengampunkan anak saudaranya itu. Hingga saat-saat terakhir ini juga dia dirayu dan ditangisi oleh ahli-ahli keluarganya agar mengampunkan anak saudaranya itu, tetapi ia tetap berkeras. Dalam perjalanan yang dirasakan amat berat oleh Hamdan dengan rantai yang mengikatnya, dan separuh kepalanya telah tertutup, ia merenung bapa saudaranya, wakil ahli keluarganya dalam kes ini.

Lalu ia berkata kepada bapa saudaranya itu dengan sayu, “Pak cik, Allah peliharakan kamu, Allah peliharakan kamu, pak cik,” pak ciknya tidak bergerak dan tidak berkata apa-apa, sehingga apabila ahli keluarganya yang lain merayunya supaya mengampuni anak saudaranya itu, ia tetap dengan pendiriannya. “Inilah balasannya terhadap perbuatan tanganmu sendiri,” jeritnya kepada anak saudaranya itu di hadapan orang ramai yang sedang menyaksikan pandangan yang amat mengharukan itu.

Kes qisas berbeza dengan peruntukan undang-undang sivil yang kita jalankan. Undang-undang sivil menentukan bahawa hak memberi keampunan bagi hukuman jenayah bunuh setelah selesai semua proses kehakiman dan perundangan, adalah terletak di tangan raja. Tetapi qisas memberikan hak keampunan ini kepada keluarga si mangsa. Maka dalam kes ini, abang mangsa, iaitu bapa saudara pembunuh sendiri, telah diberi mandat untuk mewakili mereka dalam keputusan yang bakal diambil, sama ada akan mengampunkan kesalahan anak saudaranya itu atau tidak.

Setelah Hamdan diselubungi dengan tutup kepala dan muka, melutut di atas tanah dengan kepalanya terletak di atas alas yang disediakan untuk menerima hukuman, seperti yang diterima puluhan penjenayah sebelum ini, tiba-tiba dalam tangisan dan teriakan, Hamdan Al-Umri, wakil keluarga mangsa, menjerit sekuat-kuat hatinya mengampunkan mangsa, anak saudaranya Hamdan Al-Kaabi itu.

Pengucapan ampunnya yang diucapkan secara spontan pada saat terakhir yang amat genting itu, segera disambut oleh takbir dan tahmid serta jeritan dan tangisan para hadirin yang memenuhi dataran tersebut. Mereka berpekik menyeru nama Allah, bersyukur kepada Allah, dan pekikan itu disambut dengan jeritan sedih, esak tangis yang meninggi dan suara-suara yang tidak tentu butirannya, semuanya memecahkan kesunyian dan keheningan yang menyelubungi dataran itu sebentar tadi.

Al-Umri, wakil keluarga yang mengampuni Hamdan, tidak menuntut sesuatu balasan kebendaan daripada anak saudaranya seperti yang biasa juga dilakukan oleh sesetengah keluarga mangsa, yang meminta balasan wang untuk mendapatkan keampunan. Ia mengampunkannya semata-mata kerana Allah s.w.t. Ia tidak perlukan sebarang ganjaran di dunia ini, tetapi hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah semata-mata. Syaratnya kepada anak saudaranya itu satu sahaja, iaitu ia hendaklah keluar segera dari daerah keluarganya untuk mengelakkan kekacauan dan masalah yang mungkin berbangkit pada masa yang akan datang.

Hamdan Al-Kaabi dengan itu terlepas daripada hukuman mati, dan hal ini memberikan satu pengalaman yang amat luar biasa kepadanya, dia seolah-olah telah mati tetapi dihidupkan kembali. Bapa saudaranya itulah yang memberikan penghidupan yang baru kepadanya. Dia bersyukur dan sujud kepada Allah, insaf, sayu dan menyesal di atas perilakunya yang lalu. Dia mengharapkan keampunan daripada Allah, dan akan terus menunaikan haji pada tahun ini juga untuk memulakan satu penghidupan baru yang suci dan diredai Allah.

Dataran yang bakal menyaksikan satu lagi kepala bercerai daripada badan pada hari itu semakin ditinggalkan orang. Di antara yang berjalan meninggalkan dataran itu, tentulah terdapat ramai orang yang diselubungi dengan pelbagai perasaan. Yang insaf dan takut, mengambil pelajaran untuk tidak akan cuba melakukan perbuatan jenayah yang amat berat itu. Yang menyaksikan pedang yang telah terhunus dan kepala yang bakal diceraikan dari jasad penjenayah, berasa ngeri dan gerun, maka hal ini meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya untuk menjadi orang yang baik. Yang sedar akan rahmat dan nikmat Allah, akan menghargai nilai mengampunkan orang yang melakukan kesalahan dan memberikan keinsafan atau kehidupan baru kepada mereka.

Memang sepintas lalu kelihatan hukuman ini amat kejam, terutamanya apabila dijalankan di hadapan awam. Tetapi ada kalanya hal ini memberikan kesan yang baik kepada orang-orang yang mahu insaf, khususnya jika pihak berkuasa mengehadkan umur orang awam yang menghadirinya, supaya tidak terdapat kanak-kanak yang akan menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut.

Sesungguhnya qisas adalah hak Allah yang perlu dijalankan, tetapi kuasa menjalankannya diserahkan juga kepada manusia, iaitu kepada keluarga mangsa. Maka keluarga yang mengampunkan penjenayah, ahli keluarga ini mendapat rahmat daripada Allah, dan pemberian kehidupan baru kepada penjenayah amatlah diharapkan akan menjadi satu anugerah yang paling berharga untuk pelajaran dan pengalaman penjenayah itu, agar penjenayah dapat mengesani dirinya, mencerminkan muka dan jasadnya serta jiwanya, kerana ia telah diberikan satu kehidupan yang baru setelah ia sepatutnya telah mati dan berpisah dari alam maya ini.

http://tp-tazkirah.blogspot.com/2006/12/qisas-mati-hidup-kembali.html

Artikel saya sebelum ni juga ada membicarakan pengalaman saya sendiri menyaksikan peristiwa yang sangat hebat ini. Boleh layari di:

http://asshikhanipah.blogspot.com/2009/09/qisas-di-madinah.html

Read more...

Saturday, February 13, 2010

:: Kunjungan Hormat ke PMRAM ::

KAHERAH, 11 Februari - Satu pertemuan diadakan dengan Badan Pengurus PMRAM di pejabat operasinya yang terletak di Hayyi 'Asyir, Kaherah. Sdr Mohd Asshik bin Abu Hanipah telah ditemani dua orang lagi mewakili pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam kunjungan tersebut. Pertemuan yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu telah berakhir dengan beberapa perkara yang melibatkan hubungan kedua - dua pihak. Antara perkara yang menjadi perhatian ialah usaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala melalui pelbagai program.


Bergambar bersama exco - exco PMRAM

" Sebenarnya, hubungan kita telah lama wujud. Contohnya, boleh dikatakan hampir saban tahun pihak PMRAM akan meminta bantuan dari pelajar Madinah ketika musim haji. Alangkah indahnya apabila hubungan ini dapat diluaskan dalam pelbagai aspek," kata Mohd Asshik. Kedua - dua pihak juga sempat berkongsi pengalaman dan kemahiran masing - masing dalam mengurus dan membangunkan ahli. Semoga pertemuan yang singkat tersebut dapat dijadikan sebagai titik permulaan untuk terus berganding bahu dalam segenap perkara.

Read more...

Tuesday, February 9, 2010

:: Percutian yang Mengasyikkan ::

“ Alhamdulillah, akhirnya selesai juga musim peperiksaan semester ini…” Begitulah antara ungkapan yang terkeluar dari bibir – bibir Mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah (UIM). Berakhirnya musim yang sungguh mencabar tersebut merupakan tanda bermulanya musim cuti yang sudah dibayangkan oleh Mahasiswa UIM dengan pelbagai aktiviti dan program. Bagi mereka yang telah menerima keputusan peperiksaan, lulus dengan cemerlang atau keputusan kurang memberangsangkan tidak akan menjadi penghalang kepada penghayatan musim cuti yang diidam – idamkan.

Apabila ditanya berkenaan program atau aktiviti yang akan dilaksanakan, maka bermacam – macam jenis perkara yang kita akan dengar. Ada yang hendak bercuti di tanah air bersama orang - orang tersayang, ziarah ke tempat – tempat bersejarah di Arab Saudi, menunaikan umrah, dan lain – lain. Pada 3 – 5 Feb baru – baru ni, lebih kurang 40 orang pelajar mengikuti program yang diberi nama UTAJED, singkatan kepada program rehlah (Umrah+Taif+Jeddah). Saya diberitakan program tersebut berjalan dengan lancar dan para peserta sangat gembira. Sehari sebelum program tersebut, satu pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yg.Berhormat Dato’ Razali Ibrahim. Majlis Ramah Mesra tersebut diadakan di Hotel Sharq Manazili. Terima kasih diucapkan kepada sahabat karib saya, Us. Abdul Aziz bin Abbas kerana sudi mengganti saya untuk berucap mewakili pelajar. Sebahagian kecil pelajar mengambil peluang waktu cuti ni untuk menjelajah ke negara – negara yang berjiran dengan Arab Saudi untuk menimba pengalaman baru seperti Jordan, Syria, Mesir, Qatar dan paling jauh di UK. Seperti biasa, saya ke taman ilmu kedua saya iaitu Mesir untuk menziarahi isteri tercinta. Kali ni saya tidak keseorangan, bersama saya ialah pengantin baru Us.Azhar Abd Rahman. Beliau baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan Mahasiswi al-Azhar iaitu Ustazah. Athirah bt Ajos yang juga sahabat sepengajian isteri saya. Lagi satu program yang sangat digalakkan untuk disertai ialah Daurah Ilmiah yang diadakan di Masjid Balawi iaitu antara masjid yang paling hampir dengan kampus. Ia merupakan program tahunan yang diadakan oleh pihak masjid khusus sempena berakhirnya peperiksaan.

Berjamu dengan jemaah umrah dari Malaysia



Sebelum berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah Jamuan juadah arab besar - besaran

Secara umumnya, setiap matlamat bagi program – program tersebut ialah untuk mendapatkan sesuatu hasil yang baik dan menyeronokkan. Sebagai contohnya program ziarah ke tempat – tempat bersejarah. Selain kita dapat melihat tempat tersebut secara langsung dan mengetahui kisah yang telah menjadi lipatan sejarah, kita juga dapat merapatkan ukhuwwah sesama kita kerana antara cara untuk kita mengenali sahabat ialah ketika kita bermusafir dengannya. Babak – babak seperti solat berjemaah di sesuatu perhentian, makan bersama, menginap di tempat yang tidak semewah tempat kita akan menjadi satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Sekiranya apa yang digambarkan ini berlaku, maka percutian yang dilalui merupakan satu percutian yang ‘mengasyikkan’!

Wahai sahabat sekalian, bagaimana pula mereka yang langsung tidak merancang sesuatu untuk memanfaatkan musim cuti ini? Atau ada di kalangan kita yang telah pun merancang program – program mereka dengan hanya bermain ‘game’, tidur, menonton filem – filem hiburan dan sebagainya…Sedarlah wahai sahabatku…Nikmat berada di bumi Madinah yang penuh barakah ini merupakan pemberian dari Allah Ta’ala yang sangat tinggi nilainya. Berbekalkan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu di Madinah sejak mula melangkah keluar dari rumah telah mula terhakis sedikit demi sedikit. Tidak mustahil program yang matlamat asalnya baik tetapi kesudahannya tidak boleh dibanggakan. Antara faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku ialah kemahiran kita dalam mengutamakan di antara dua perkara yang utama. Contoh mudah untuk kita faham ialah kita mengadakan jamuan makan selepas solat maghrib. Pada asalnya, aktiviti seumpama ini adalah suatu perkara yang sangat baik kerana ia boleh mengeratkan ukhuwwah sesama sahabat tetapi cara pemilihan waktu tersebut adalah tidak sesuai kerana kita sedia maklum bahawa lazimnya selepas solat maghrib merupakan peluang keemasan untuk kita mengambil manfaat di majlis – majlis ilmu sama ada di Masjid Nabawi atau di tempat – tempat lain.

Untuknya akhirnya, sekali lagi saya menasihati diri saya dan teman – teman seperjuangan agar dapat memanfaatkan semaksima mungkin di musim cuti ini. InsyaAllah, selepas tamat cuti ni, kita akan berkumpul bersama – sama dan berkongsi pengalaman masing – masing. Jangan lupa rakam gambar – gambar menarik!

Read more...

Saturday, January 30, 2010

:: Kemalangan Jalan Raya di Makkah ::

Makkah: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, saudara Shahfendi bin Saad terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dekat sini. Kejadian yang berlaku semalam ini menyebabkan seorang jemaah umrah dari Malaysia meninggal dunia. Kesemua mangsa dalam perjalanan sebuah kereta dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah. Saudara Shahfendi bin Saad bersama tiga orang lagi jemaah Malaysia yang terlibat dalam kemalangan tersebut dalam keadaan stabil. Saudara Shahfendi ditempatkan di Hospital an-Nur, Aziziah manakala mangsa lain ditempatkan di hospital yang berasingan. Punca kemalangan belum dikenalpasti dan masih disiasat.

Read more...

Sunday, January 17, 2010

:: Tamat Jua Akhirnya ::


Sekadar ingin berkongsi setelah memerah otak mengulangkaji pelajaran sempena pepekriksaan...Alhamdulillah, baru - baru ni saya dan beberapa orang sahabat berjaya menamatkan pengajian talaqi terhadap dua buah kitab. Tempoh yang diambil untuk menyelesaikannya lebih kurang setahun setengah.

Kitab pertama ialah, Matan Abi Syuja' dan saya menggunakan Kitab Kifayatul Akhyar karangan Imam Taqiyuddin Abi Bakar bin Muhammad bin Abdi al-Mu'min al-Hisni al-Husaini ad-Dimasyqi as-Syafie r.a sebagai syarahan kepada matan tersebut. Fadhilah as-Syeikh Dr Ahmad bin Ali al-Maqrami al-Yamani merupakan guru yang mengajar kitab ini. Beliau meruapakan tenaga pengajar Fiqh as-Syafie di Masjid Nabawi dan saya mendapat tahu beliau juga merupakan salah seorang pensyarah di Madinah al-Munawwarah Islamic University (MEDIU) yang ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor. Pengajian kami berlangsung di Masjid Nabawi pada setiap hari selepas solat asar dan diadakan secara bergilir - gilir mengikut kumpulan - kumpulan kecil. Setakat ini, terdapat dua kumpulan dari pelajar Malaysia dan selebihnya sahabat - sahabat dari pelbagai negara. Alhamdulillah, sekarang kami telah pun memulakan bacaan bagi kitab baru iaitu Minhaj al-Tolibin wa 'Umdatu al-Muftin karangan Imam Mahyuddin Abi Zakariya Yahya bin Syaraf an-Nawawi r.a. Sebelum ini, kami juga sempat menadah kitab yang bernama al-Luma' fi Usul al-Fiqh karangan Imam Abi Ishaq Ibrahim bin 'Ali as-Syairazi, tetapi disebabkan jadual syeikh yang padat dengan kuliahnya, maka pengajian kitab tersebut tergendala buat sementara waktu.

Kitab kedua pula ialah Kasyfu Syubahat yang disyarahkan oleh as-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Aali as-Syeikh. Kitab ini kami baca dengan Fadhilah as-Syeikh Khalid ad-Duwaish di rumahnya pada setiap hari Selasa selepas Isyak. Beliau merupakan pensyarah al-Quran di Pusat Bahasa Arab, Univ. Islam Madinah. Sebelum ini, kami telah pun menamatkan beberapa kitab kecil dengan beliau antaranya ialah syarah Hadith 40 Imam Nawawi. Buat masa ini, kami belum memutuskan untuk memilih kitab mana yang akan kami baca selepas ini.

Antara talaqi yang masih berjalan ialah bacaan Matan Lum'atul 'Itiqad karangan Imam Muafiq ad-Din Abi Muhammad Abdullah bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah al-Maqdisi. Matan ini saya baca dengan Prof. Dr. Abdul Karim al-Hasyimi di pejabatnya di Masjdi Nabawi pada setiap hari Isnin selepas maghrib. Beliau merupakan pensyarah bidang hadith di Univ.Islam Madinah dan Mufti Masjid Nabawi as-Syarif.

Semoga segala ilmu yang dipelajari ini dapat memberi manfaat kepada diri saya ini dan saya berharap akan dapat memanfaatkan segala ilmu ini untuk masyarakat kelak. Jazahumullahu khairan kepada semua guru - guru saya atas jasa mereka kepada saya. Tidak lupa juga kepada Fadhilah as-Syeikh Husin bin Ahmad bin Abdullah Aali 'Ali an-Najran yang menjadi penyebab kepada saya untuk lebih berminat kepada ilmu-ilmu Bahasa 'Arab dan saya juga berjaya menamatkan talaqi bersamanya dengan menggunakan kitab karangannya sendiri iaitu al-Mughni fi Ta'limi an-Nahwi. Beliau merupakan pensyarah Bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab, Univ.Islam Madinah.

Read more...

Thursday, January 14, 2010

:: JADUAL PEPERIKSAAN ::


TARIKH HARI SUBJEK

23/1 Sabtu FIQH 4
24/1 Ahad NAHU 4
25/1 Isnin
26/1 Selasa TAUHID 4
27/1 Rabu HADITH 3 & HADHIR ‘ALAM ISLAMI
28/1 Khamis
29/1 Jumaat
30/1 Sabtu USUL FIQH 4
31/1 Ahad TAFSIR AL- QURAN 3
* Sila bawa jadual exam dan kad pelajar ke dewan peperiksaan atau anda tidak dibenarkan masuk.

Read more...

Wednesday, January 13, 2010

:: Selamat Menempuh Peperiksaan ::


Assalamualaikum wbt...

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda serta seluruh umat Baginda.

Sahabat - sahabat Mahasiswa Malaysia Universiti Islam Madinah yang dihormati dan dikasihi sekalian...

Apabila kita mengenang kembali saat permulaan bergelar sebagai Mahasiswa Universiti Islam Madinah, sudah pasti kita terbayang wajah - wajah yang penuh ceria dan bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian penduduk Madinah. Pengetahuan tentang kelebihan - kelebihan Madinah yang tiada tolok bandingnya, membuatkan kita berazam untuk memastikan setiap saat ketika berada di sini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggali mutiara - mutiara ilmu dan membentuk peribadi yang mulia. Maka, pelbagai perancangan dan sasaran telah kita susun, segala gerak kerja ke arah mencapai matlamat tersebut telah dilakarkan. Bergeraklah kita ke pelbagai sudut dan ruang, berkorbanlah kita dengan tenaga, masa, harta dan sebagainya...semata - mata untuk memastikan segala yang dihajatkan berjaya dicapai dengan penuh gilang - gemilang.

Setelah berlalunya hari demi hari, bulan - demi bulan, kita perasan bahawa trek yang kita lalui ini seakan - akan bengkok, tetapi sebenarnya kita yang berjalan terhuyung - hayang. Salah satu sebab ketidakstabilan kita itu adalah datangnya pelbagai ujian dan cabaran. Mudahnya, siapa yang kuat insyaAllah dia akan berjaya dan siapa yang lemah, kegagalan sedang menantinya.

Oleh yang demikian, kita kena sedar bahawa matlamat yang besar ini adalah matlamat bersama dan ianya memerlukan perancangan yang tersusun. Pakar pengurusan bersepakat bahawa kejayaan sesebuah pasukan itu bergantung kepada komitmen setiap ahlinya. Jangan sesekali kita membiarkan sahabat kita terhanyut dan kita tidak mahu melihat ada di kalangan kita yang hanya mementingkan diri sendiri dalam mencapai matlamat yang suci ini.

Sempena dengan peperiksaan yang semakin hampir ini, saya menyeru kepada diri saya dan sahabat - sahabat sekalian, marilah sama - sama kita berusaha bersungguh - sungguh untuk mendapat kejayaan yang cemerlang. Jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk kita mengulangkaji segala pelajaran yang kita perolehi sejak awal semester lalu. Saya percaya, kita semua faham bahawa peperiksaan ini bukanlah tanda aras sebenar untuk menilai tahap ilmu kita tetapi sekiranya cemerlanglah yang kita perolehi, sudah pasti ia adalah penyebab untuk kita lebih bermotivasi dalam menuntut ilmu. Jagalah kesihatan dan bantu - membantulah dalam kita menempuh medan peperangan ini...

SELAMAT BERJUANG !!!

Read more...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP