MAJLIS BACAAN AL-QURAN EKSKLUSIF BERSAMA JUARA AKADEMI AL-QURAN MUSIM PERTAMA, ABDULLAH FAHMI
JANGAN LEPASKAN PELUANG BERSAMA IKON REMAJA MASA KINI, ABDULLAH FAHMI, JUARA AKADEMI AL-QURAN MUSIM PERTAMA!!!
Pelajar Malaysia di Arab Saudi jalani kursus protokol
09/05/2010 10:18am
KUALA LUMPUR 9 Mei - Semangat 1Malaysia merentasi sempadan negara disemarakkan lagi di kalangan pelajar Malaysia di Arab Saudi melalui kursus pengurusan organisasi yang julung kali diadakan.
Kursus dua hari anjuran bersama Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Jordan dan Persatuan Pelajar Malaysia Madinah itu diadakan di Universiti Islam Madinah pada Rabu dan Khamis lepas.
Pengarah MSD Jordan Haji Sulaiman Ismail berkata, pensyarah universiti itu Prof. Dr. Abdul Karim Ibrahim AlGhudayh, yang juga Mufti Masjid Nabawi memuji usaha tersebut kerana dapat menambah pengetahuan para pelajar.
“Beliau yang mewakili rektor universiti telah turut mengikuti sebahagian daripada slot kursus dan mencadangkan semua bahan kursus diterjemah ke dalam bahasa Arab untuk dikongsi bersama pelajar-pelajar lain universiti itu,” katanya dalam satu kenyataan menerusi e-mel hari ini.
Sebanyak lapan kertas kerja telah dibentangkan merangkumi aspek pengurusan organisasi, penulisan surat rasmi, tatacara pengurusan kewangan, protokol pengurusan majlis, pengacaraan majlis rasmi, penyediaan aturcara pentadbiran majlis, penyediaan teks juruacara majlis, etiket menjawab telefon dan etiket di meja makan.
Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Madinah, Mohamad Ashik Abu Hanifah berkata, kursus itu memberikan input berguna kepada pelajar khususnya dalam aspek pengurusan persatuan dan pendedahan mengenai protokol dan etiket sosial. - Bernama
Sumber:
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_04.htm
Soalan :
"Di beberapa farmasi ada inhaler yang digunakan oleh sebahagian pengidap athma. Adakah orang yang berpuasa boleh menggunakannya di siang hari Ramadhan?"
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;
Menggunakan inhaler bagi yang berpuasa hukumnya boleh, sama ada ianya puasa Ramadhan ataupun yang lainnya. Kerana inhaler itu tidak sampai ke perut tapi hanya berfungsi melegakan saluran pernafasan dan penggunaannya pun hanya dengan bernafas seperti biasa. Jadi hal ini tidak seperti makan dan minum.
Sebagaimana diketahui, bahawa hukum asal puasanya adalah sah sampai ada dalil yang menunjukkan rosaknya puasa, baik dari Al-Kitab, As-Sunnah, Ijma’ ataupun Qiyas yang Sahih.
[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, Soalan no. 1]
[Disalin dari bukuAl-Fatawa Asy-Syar’iyyah Fi Al-Masa’il Al-Ashriyyah Min Fatawa Ulama Al-Balad Al-Haram, edisi Indonesia Fatwa-Fatwa Terkini, Penerbit Darul Haq]
Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id
JEDDAH, 11 March - Barisan wakil Mahasiswa Malaysia Madinah telah membuat lawatan rasmi ke Konsulat Malaysia di Jeddah dan pada hari yang sama membuat lawatan balas ke wakil Mahasiswa Malaysia Makkah di Makkah. Siri lawatan tersebut disertai seramai sebelas orang mahasiswa dan dimulakan dengan mengerjakan ibadah umrah. Pertemuan dengan pihak konsulat yang memakan masa lebih kurang tiga jam tersebut telah dimanfaatkan dengan sebaiknya terutamanya untuk mengetahui kaedah berurusan di antara mahasiswa dengan pihak konsulat. Ini kerana sebelum ini pihak mahasiswa hanya berurusan dengan konsul pendidikan dan pada pertengahan tahun lepas pos tersebut ditutup dan menyebabkan pihak mahasiswa sukar untuk berurusan dengan pihak konsulat.
Menyampaikan kata alu -aluan
Mendengar taklimat di konsulat
Pada sebelah malamnya, pihak rombongan patah balik ke Makkah untuk mengadakan kunjungan balas bersama wakil Mahasiswa Malaysia Makkah. Pada pertemuan tersebut kedua - dua pihak merancang untuk melaksanakan program bersama dan bertukar - tukar fikiran berkenaan usaha meningkatkan kemampuan ahli masing - masing dalam pelbagai bidang. Pihak rombongan berharap agar kunjungan terhadap kedua - dua pihak tersebut dapat meningkatkan kerjasama dan melicinkan segala aktiviti yang telah dirancangkan.
* Lawatan sahabat - sahabat Makkah ke Madinah, boleh layari:
http://syahiryusof.blogspot.com/2010/01/xpdc-madinah-pertemuan-pertama.html
Soalan : Adakah mengambil sedikit darah di siang bulan Ramadhan untuk pemeriksaan perubatan atau derma darah membatalkan puasa ?
Dijawab oleh Syaikh Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin;
Jika seseorang mengambil sedikit darah yang tidak menyebabkan tubuhnya lemah, maka hal itu tidak membatalkan puasanya. Darah boleh diambil samada untuk pemeriksaan kesihatan atau pemindahan darah kepada orang lain (blood transfusion) ataupun untuk didermakan kepada seseorang yang memerlukannya.
Tapi jika pengambilan darah itu dalam jumlah yang banyak yang menyebabkan lemah tubuh badan, maka hal itu membatalkan puasa. Hal ini diqiyaskan kepada berbekam yang telah ditetapkan oleh As-Sunnah bahawa hal itu membatalkan puasa. Berdasarkan hujah ini, seseorang yang tengah melaksanakan puasa wajib, seperti puasa Ramadhan, tidak boleh mendermakan darah dalam jumlah banyak, kecuali apabila terpaksa (darurat). Kerana dalam keadaan ini bererti dia telah batal puasanya sehingga dibolehkan makan dan minum pada baki hari tersebut. Kemudian dia mengqadha pada hari lain di luar bulan Ramadhan.
[Fadha’il Ramadhan, disusun oleh Abdurrazaq Hasan, pertanyaan no. 2]
Sumber :Disunting dan dialihbahasa dari http://www.almanhaj.or.id/
Read more...Oleh : DR. ISMAIL IBRAHIM
Pemuda Hamdan Al-Kaabi tidak pernah terlintas di dalam kepalanya bahawa pada pagi ia dibawa ke dataran Al-Bihar di kota Abha, kira-kira seribu kilometer dari Riydh, ibu kota Arab Saudi, untuk menerima hukuman mati kerana kesalahan membunuh ibu saudaranya dua tahun lalu, tiba-tiba akan terjadi sebaliknya, dan dia akan terlepas daripada hukuman itu.
Dia telah berada di dalam tahanan selama dua tahun yang lalu, kerana dia telah membunuh ibu saudara sebelah emaknya disebabkan oleh satu pertelingkahan keluarga. Dia didapati bersalah membunuh dengan sengaja dan dengan niat membunuh oleh mahkamah. Rayuannya mengikut proses perundangan telah selesai, dan semua peringkat mahkamah telah menetapkan hukuman mati (qisas) ke atasnya, malah telah ditandatangani oleh raja.
Pagi itu, hari Selasa 12 Disember 2006, sebelum waktu subuh, iaitu sebelum ia di bawa ke dataran Al-Bihar, untuk menjalani hukuman “memotong kepala” seperti yang biasa dijalankan di dataran tersebut bagi kesalahan membunuh, iaitu dengan hukuman qisas, ia terperanjat kerana tiba-tiba dua orang pegawai keselamatan datang berjumpa dengannya dan meminta dia mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sebilik dengannya di dalam penjara itu.
Tidak lama kemudian, dia telah dibawa ke kamar pengarah penjara, dan diberitahu bahawa masanya telah tiba untuk ia menjalani hukuman menurut hukum syariah pada pagi itu. Ia tidak pun diberitahu tentang perlaksanaan hukuman ini sebelum ini. Waktu itu barulah ia terkenang beberapa rentetan peristiwa yang berlaku kepadanya pada malam sebelumnya. Pertama sekali, ia teringatkan perubahan yang berlaku kepada ayahnya ketika ia menghubunginya untuk bertanya khabar seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Bapanya menangis dengan teramat sangat ketika mengucapkan salam kepadanya di dalam telefon, dan dengan itu ia bercakap dengan ibunya pula, maka hal yang sama dilakukan oleh ibunya, yang amat sebak mengucapkan kata-kata akhir kepadanya di dalam telefon itu. Sebelum ini mereka berdua sering berbicara dengan nada yang biasa sahaja setiap kali dia menghubungi mereka melalui telefon.
Maka pada malam itu selepas menamatkan percakapan telefon dengan ibu bapanya, Hamdan merasakan bahawa mungkin masanya telah hampir untuk dia pergi buat selama-lamanya daripada alam dunia ini, iaitu dengan menjalani hukuman mati yang telah dijatuhkan kepadanya. Dia berasa amat gelisah, dan terus tidak dapat melelapkan matanya. Pada pagi subuh itulah, pengawal keamanan datang menemuinya dan memberitahunya tentang hukuman yang akan dijalankan kepadanya pada hari itu juga.
Hamdan merupakan seorang pesalah yang dikenakan hukuman qisas kerana membunuh. Qisas adalah hukuman bunuh balas mengikut kesalahan yang dilakukannya. Dia membunuh ibu saudaranya, maka dia sendiri harus dibunuh. Telah dua tahun dia meringkuk di dalam penjara, menunggu proses perundangan, dan setelah selesai semuanya maka hukuman itu haruslah dijalankan, supaya hutang nyawa tertebus dengan bayaran yang sama.
Sebelum menjalani persiapan akhir untuk menerima hukuman di dataran yang telah dipenuhi oleh orang ramai yang ingin menyaksikan hukuman ini, Hamdan telah diminta menulis wasiatnya yang terakhir.
Dia meninggalkan wasiat supaya keluarganya mengerjakan haji untuknya, menasihati adiknya supaya tidak terlibat dengan teman-teman yang menyeleweng, mendermakan semua organ badannya untuk para pesakit yang memerlukannya, tetapi diwasiatnya secara khusus supaya buah pinggangnya didermakan kepada salah seorang teman banduannya yang mengalami sakit buah pinggang.
Hamdan menghadapi semua persiapan pada pagi itu dengan tenang, dan dia menyerahkan dirinya kepada Allah yang Maha Kuasa, berpuasa semenjak dia diberitahu tentang pelaksanaan hukuman ini sebelum subuh tadi. Dia tentunya teringat bahawa masanya telah tiba untuk dia membayar hutang nyawanya kepada ibu saudaranya yang dibunuh itu.
Qisas mesti dijalankan mengikut hukuman Islam setelah semua keterangan dan bukti disabitkan tanpa keraguan. Malah di dalam undang-undang sekular yang kita amalkan juga, peruntukan hukuman bunuh adalah termaktub dan tetap akan dilaksanakan setelah kes itu dapat dibuktikan di dalam proses perbicaraan di semua peringkat mahkamah.
Ketika Hamdan dibawa ke dataran Al-Bihar untuk menjalani hukuman, ia dirantai, berjalan dengan serba kepayahan dan pemikirannya buntu sama sekali, yang diingatnya ialah mati sahaja. Peristiwa yang akan berlaku ini disaksikan oleh ramai sanak saudara dan penduduk tempatan, semuanya mempunyai perasaan yang bercampur aduk, kasihan, simpati, gerun dan takut, ataupun berserah sahaja kepada Allah yang menetapkan hukuman ini.
Antara orang ramai yang berada di dataran tersebut terdapat bapa saudaranya sendiri, yang juga bernama Hamdan dari keluarga Al-Umri. Bapa saudaranya ini ialah abang kepada ibu saudaranya yang dibunuhnya itu, dan dia juga adalah wakil keluarga si mati, yang mewakili semua ahli keluarganya dalam kes qisas ini.
Dalam hukuman qisas, keluarga mangsa, mempunyai kata terakhir, iaitu sama ada akan mengampunkan pesalah atau tidak. Sekiranya keluarga mangsa bersetuju untuk mengampunkan pesalah, dengan beberapa syarat atau tanpa syarat, maka dengan itu si pembunuh akan terlepas daripada hukuman.
Namun sehingga ke saat-saat akhir, wakil mangsa, iaitu bapa saudara pembunuh, Hamdan Al-Umri, yang sedang melihat anak saudaranya dibawa ke tempat pelaksanaan hukuman, tetap mengatakan bahawa ia tidak akan mengampunkan anak saudaranya itu. Hingga saat-saat terakhir ini juga dia dirayu dan ditangisi oleh ahli-ahli keluarganya agar mengampunkan anak saudaranya itu, tetapi ia tetap berkeras. Dalam perjalanan yang dirasakan amat berat oleh Hamdan dengan rantai yang mengikatnya, dan separuh kepalanya telah tertutup, ia merenung bapa saudaranya, wakil ahli keluarganya dalam kes ini.
Lalu ia berkata kepada bapa saudaranya itu dengan sayu, “Pak cik, Allah peliharakan kamu, Allah peliharakan kamu, pak cik,” pak ciknya tidak bergerak dan tidak berkata apa-apa, sehingga apabila ahli keluarganya yang lain merayunya supaya mengampuni anak saudaranya itu, ia tetap dengan pendiriannya. “Inilah balasannya terhadap perbuatan tanganmu sendiri,” jeritnya kepada anak saudaranya itu di hadapan orang ramai yang sedang menyaksikan pandangan yang amat mengharukan itu.
Kes qisas berbeza dengan peruntukan undang-undang sivil yang kita jalankan. Undang-undang sivil menentukan bahawa hak memberi keampunan bagi hukuman jenayah bunuh setelah selesai semua proses kehakiman dan perundangan, adalah terletak di tangan raja. Tetapi qisas memberikan hak keampunan ini kepada keluarga si mangsa. Maka dalam kes ini, abang mangsa, iaitu bapa saudara pembunuh sendiri, telah diberi mandat untuk mewakili mereka dalam keputusan yang bakal diambil, sama ada akan mengampunkan kesalahan anak saudaranya itu atau tidak.
Setelah Hamdan diselubungi dengan tutup kepala dan muka, melutut di atas tanah dengan kepalanya terletak di atas alas yang disediakan untuk menerima hukuman, seperti yang diterima puluhan penjenayah sebelum ini, tiba-tiba dalam tangisan dan teriakan, Hamdan Al-Umri, wakil keluarga mangsa, menjerit sekuat-kuat hatinya mengampunkan mangsa, anak saudaranya Hamdan Al-Kaabi itu.
Pengucapan ampunnya yang diucapkan secara spontan pada saat terakhir yang amat genting itu, segera disambut oleh takbir dan tahmid serta jeritan dan tangisan para hadirin yang memenuhi dataran tersebut. Mereka berpekik menyeru nama Allah, bersyukur kepada Allah, dan pekikan itu disambut dengan jeritan sedih, esak tangis yang meninggi dan suara-suara yang tidak tentu butirannya, semuanya memecahkan kesunyian dan keheningan yang menyelubungi dataran itu sebentar tadi.
Al-Umri, wakil keluarga yang mengampuni Hamdan, tidak menuntut sesuatu balasan kebendaan daripada anak saudaranya seperti yang biasa juga dilakukan oleh sesetengah keluarga mangsa, yang meminta balasan wang untuk mendapatkan keampunan. Ia mengampunkannya semata-mata kerana Allah s.w.t. Ia tidak perlukan sebarang ganjaran di dunia ini, tetapi hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah semata-mata. Syaratnya kepada anak saudaranya itu satu sahaja, iaitu ia hendaklah keluar segera dari daerah keluarganya untuk mengelakkan kekacauan dan masalah yang mungkin berbangkit pada masa yang akan datang.
Hamdan Al-Kaabi dengan itu terlepas daripada hukuman mati, dan hal ini memberikan satu pengalaman yang amat luar biasa kepadanya, dia seolah-olah telah mati tetapi dihidupkan kembali. Bapa saudaranya itulah yang memberikan penghidupan yang baru kepadanya. Dia bersyukur dan sujud kepada Allah, insaf, sayu dan menyesal di atas perilakunya yang lalu. Dia mengharapkan keampunan daripada Allah, dan akan terus menunaikan haji pada tahun ini juga untuk memulakan satu penghidupan baru yang suci dan diredai Allah.
Dataran yang bakal menyaksikan satu lagi kepala bercerai daripada badan pada hari itu semakin ditinggalkan orang. Di antara yang berjalan meninggalkan dataran itu, tentulah terdapat ramai orang yang diselubungi dengan pelbagai perasaan. Yang insaf dan takut, mengambil pelajaran untuk tidak akan cuba melakukan perbuatan jenayah yang amat berat itu. Yang menyaksikan pedang yang telah terhunus dan kepala yang bakal diceraikan dari jasad penjenayah, berasa ngeri dan gerun, maka hal ini meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya untuk menjadi orang yang baik. Yang sedar akan rahmat dan nikmat Allah, akan menghargai nilai mengampunkan orang yang melakukan kesalahan dan memberikan keinsafan atau kehidupan baru kepada mereka.
Memang sepintas lalu kelihatan hukuman ini amat kejam, terutamanya apabila dijalankan di hadapan awam. Tetapi ada kalanya hal ini memberikan kesan yang baik kepada orang-orang yang mahu insaf, khususnya jika pihak berkuasa mengehadkan umur orang awam yang menghadirinya, supaya tidak terdapat kanak-kanak yang akan menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut.
Sesungguhnya qisas adalah hak Allah yang perlu dijalankan, tetapi kuasa menjalankannya diserahkan juga kepada manusia, iaitu kepada keluarga mangsa. Maka keluarga yang mengampunkan penjenayah, ahli keluarga ini mendapat rahmat daripada Allah, dan pemberian kehidupan baru kepada penjenayah amatlah diharapkan akan menjadi satu anugerah yang paling berharga untuk pelajaran dan pengalaman penjenayah itu, agar penjenayah dapat mengesani dirinya, mencerminkan muka dan jasadnya serta jiwanya, kerana ia telah diberikan satu kehidupan yang baru setelah ia sepatutnya telah mati dan berpisah dari alam maya ini.
http://tp-tazkirah.blogspot.com/2006/12/qisas-mati-hidup-kembali.html
Artikel saya sebelum ni juga ada membicarakan pengalaman saya sendiri menyaksikan peristiwa yang sangat hebat ini. Boleh layari di:
http://asshikhanipah.blogspot.com/2009/09/qisas-di-madinah.html
KAHERAH, 11 Februari - Satu pertemuan diadakan dengan Badan Pengurus PMRAM di pejabat operasinya yang terletak di Hayyi 'Asyir, Kaherah. Sdr Mohd Asshik bin Abu Hanipah telah ditemani dua orang lagi mewakili pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam kunjungan tersebut. Pertemuan yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu telah berakhir dengan beberapa perkara yang melibatkan hubungan kedua - dua pihak. Antara perkara yang menjadi perhatian ialah usaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala melalui pelbagai program.
Bergambar bersama exco - exco PMRAM
" Sebenarnya, hubungan kita telah lama wujud. Contohnya, boleh dikatakan hampir saban tahun pihak PMRAM akan meminta bantuan dari pelajar Madinah ketika musim haji. Alangkah indahnya apabila hubungan ini dapat diluaskan dalam pelbagai aspek," kata Mohd Asshik. Kedua - dua pihak juga sempat berkongsi pengalaman dan kemahiran masing - masing dalam mengurus dan membangunkan ahli. Semoga pertemuan yang singkat tersebut dapat dijadikan sebagai titik permulaan untuk terus berganding bahu dalam segenap perkara.
“ Alhamdulillah, akhirnya selesai juga musim peperiksaan semester ini…” Begitulah antara ungkapan yang terkeluar dari bibir – bibir Mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah (UIM). Berakhirnya musim yang sungguh mencabar tersebut merupakan tanda bermulanya musim cuti yang sudah dibayangkan oleh Mahasiswa UIM dengan pelbagai aktiviti dan program. Bagi mereka yang telah menerima keputusan peperiksaan, lulus dengan cemerlang atau keputusan kurang memberangsangkan tidak akan menjadi penghalang kepada penghayatan musim cuti yang diidam – idamkan.
Apabila ditanya berkenaan program atau aktiviti yang akan dilaksanakan, maka bermacam – macam jenis perkara yang kita akan dengar. Ada yang hendak bercuti di tanah air bersama orang - orang tersayang, ziarah ke tempat – tempat bersejarah di Arab Saudi, menunaikan umrah, dan lain – lain. Pada 3 – 5 Feb baru – baru ni, lebih kurang 40 orang pelajar mengikuti program yang diberi nama UTAJED, singkatan kepada program rehlah (Umrah+Taif+Jeddah). Saya diberitakan program tersebut berjalan dengan lancar dan para peserta sangat gembira. Sehari sebelum program tersebut, satu pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yg.Berhormat Dato’ Razali Ibrahim. Majlis Ramah Mesra tersebut diadakan di Hotel Sharq Manazili. Terima kasih diucapkan kepada sahabat karib saya, Us. Abdul Aziz bin Abbas kerana sudi mengganti saya untuk berucap mewakili pelajar. Sebahagian kecil pelajar mengambil peluang waktu cuti ni untuk menjelajah ke negara – negara yang berjiran dengan Arab Saudi untuk menimba pengalaman baru seperti Jordan, Syria, Mesir, Qatar dan paling jauh di UK. Seperti biasa, saya ke taman ilmu kedua saya iaitu Mesir untuk menziarahi isteri tercinta. Kali ni saya tidak keseorangan, bersama saya ialah pengantin baru Us.Azhar Abd Rahman. Beliau baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan Mahasiswi al-Azhar iaitu Ustazah. Athirah bt Ajos yang juga sahabat sepengajian isteri saya. Lagi satu program yang sangat digalakkan untuk disertai ialah Daurah Ilmiah yang diadakan di Masjid Balawi iaitu antara masjid yang paling hampir dengan kampus. Ia merupakan program tahunan yang diadakan oleh pihak masjid khusus sempena berakhirnya peperiksaan.
Berjamu dengan jemaah umrah dari Malaysia
Makkah: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, saudara Shahfendi bin Saad terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dekat sini. Kejadian yang berlaku semalam ini menyebabkan seorang jemaah umrah dari Malaysia meninggal dunia. Kesemua mangsa dalam perjalanan sebuah kereta dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah. Saudara Shahfendi bin Saad bersama tiga orang lagi jemaah Malaysia yang terlibat dalam kemalangan tersebut dalam keadaan stabil. Saudara Shahfendi ditempatkan di Hospital an-Nur, Aziziah manakala mangsa lain ditempatkan di hospital yang berasingan. Punca kemalangan belum dikenalpasti dan masih disiasat.
Read more...
Assalamualaikum wbt...
Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda serta seluruh umat Baginda.
Sahabat - sahabat Mahasiswa Malaysia Universiti Islam Madinah yang dihormati dan dikasihi sekalian...
Apabila kita mengenang kembali saat permulaan bergelar sebagai Mahasiswa Universiti Islam Madinah, sudah pasti kita terbayang wajah - wajah yang penuh ceria dan bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian penduduk Madinah. Pengetahuan tentang kelebihan - kelebihan Madinah yang tiada tolok bandingnya, membuatkan kita berazam untuk memastikan setiap saat ketika berada di sini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggali mutiara - mutiara ilmu dan membentuk peribadi yang mulia. Maka, pelbagai perancangan dan sasaran telah kita susun, segala gerak kerja ke arah mencapai matlamat tersebut telah dilakarkan. Bergeraklah kita ke pelbagai sudut dan ruang, berkorbanlah kita dengan tenaga, masa, harta dan sebagainya...semata - mata untuk memastikan segala yang dihajatkan berjaya dicapai dengan penuh gilang - gemilang.
Setelah berlalunya hari demi hari, bulan - demi bulan, kita perasan bahawa trek yang kita lalui ini seakan - akan bengkok, tetapi sebenarnya kita yang berjalan terhuyung - hayang. Salah satu sebab ketidakstabilan kita itu adalah datangnya pelbagai ujian dan cabaran. Mudahnya, siapa yang kuat insyaAllah dia akan berjaya dan siapa yang lemah, kegagalan sedang menantinya.
Oleh yang demikian, kita kena sedar bahawa matlamat yang besar ini adalah matlamat bersama dan ianya memerlukan perancangan yang tersusun. Pakar pengurusan bersepakat bahawa kejayaan sesebuah pasukan itu bergantung kepada komitmen setiap ahlinya. Jangan sesekali kita membiarkan sahabat kita terhanyut dan kita tidak mahu melihat ada di kalangan kita yang hanya mementingkan diri sendiri dalam mencapai matlamat yang suci ini.
Sempena dengan peperiksaan yang semakin hampir ini, saya menyeru kepada diri saya dan sahabat - sahabat sekalian, marilah sama - sama kita berusaha bersungguh - sungguh untuk mendapat kejayaan yang cemerlang. Jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk kita mengulangkaji segala pelajaran yang kita perolehi sejak awal semester lalu. Saya percaya, kita semua faham bahawa peperiksaan ini bukanlah tanda aras sebenar untuk menilai tahap ilmu kita tetapi sekiranya cemerlanglah yang kita perolehi, sudah pasti ia adalah penyebab untuk kita lebih bermotivasi dalam menuntut ilmu. Jagalah kesihatan dan bantu - membantulah dalam kita menempuh medan peperangan ini...
SELAMAT BERJUANG !!!
© Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008
Back to TOP