Wednesday, January 13, 2010

:: Selamat Menempuh Peperiksaan ::


Assalamualaikum wbt...

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda serta seluruh umat Baginda.

Sahabat - sahabat Mahasiswa Malaysia Universiti Islam Madinah yang dihormati dan dikasihi sekalian...

Apabila kita mengenang kembali saat permulaan bergelar sebagai Mahasiswa Universiti Islam Madinah, sudah pasti kita terbayang wajah - wajah yang penuh ceria dan bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian penduduk Madinah. Pengetahuan tentang kelebihan - kelebihan Madinah yang tiada tolok bandingnya, membuatkan kita berazam untuk memastikan setiap saat ketika berada di sini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggali mutiara - mutiara ilmu dan membentuk peribadi yang mulia. Maka, pelbagai perancangan dan sasaran telah kita susun, segala gerak kerja ke arah mencapai matlamat tersebut telah dilakarkan. Bergeraklah kita ke pelbagai sudut dan ruang, berkorbanlah kita dengan tenaga, masa, harta dan sebagainya...semata - mata untuk memastikan segala yang dihajatkan berjaya dicapai dengan penuh gilang - gemilang.

Setelah berlalunya hari demi hari, bulan - demi bulan, kita perasan bahawa trek yang kita lalui ini seakan - akan bengkok, tetapi sebenarnya kita yang berjalan terhuyung - hayang. Salah satu sebab ketidakstabilan kita itu adalah datangnya pelbagai ujian dan cabaran. Mudahnya, siapa yang kuat insyaAllah dia akan berjaya dan siapa yang lemah, kegagalan sedang menantinya.

Oleh yang demikian, kita kena sedar bahawa matlamat yang besar ini adalah matlamat bersama dan ianya memerlukan perancangan yang tersusun. Pakar pengurusan bersepakat bahawa kejayaan sesebuah pasukan itu bergantung kepada komitmen setiap ahlinya. Jangan sesekali kita membiarkan sahabat kita terhanyut dan kita tidak mahu melihat ada di kalangan kita yang hanya mementingkan diri sendiri dalam mencapai matlamat yang suci ini.

Sempena dengan peperiksaan yang semakin hampir ini, saya menyeru kepada diri saya dan sahabat - sahabat sekalian, marilah sama - sama kita berusaha bersungguh - sungguh untuk mendapat kejayaan yang cemerlang. Jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk kita mengulangkaji segala pelajaran yang kita perolehi sejak awal semester lalu. Saya percaya, kita semua faham bahawa peperiksaan ini bukanlah tanda aras sebenar untuk menilai tahap ilmu kita tetapi sekiranya cemerlanglah yang kita perolehi, sudah pasti ia adalah penyebab untuk kita lebih bermotivasi dalam menuntut ilmu. Jagalah kesihatan dan bantu - membantulah dalam kita menempuh medan peperangan ini...

SELAMAT BERJUANG !!!

1 comments:

Anonymous,  Jan 14, 2010, 1:51:00 AM  

Assalamualaikum..Mantap!Semoga cmerlang!

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP