Sunday, February 28, 2010

:: Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ::




Setibanya saya ke Mesir pada awal bulan Februari tahun lepas, Pesta Buku Antarabangsa Mesir baru sahaja melabuhkan tirainya. Hasrat untuk menyaksikan pesta buku yang terbesar di dunia sebagaimana yang dikatakan itu tidak kesampaian. Walaubagaimana pun, pada tahun ini saya sempat mengunjungi pesta buku tersebut. Betapa girangnya hati saya apabila menjejaki tapak pesta tersebut. Maka benarlah apa yang dikatakan orang, sungguh luas kawasannya. Biasanya pesta buku anjuran Universiti Islam Madinah (UIM) hanya memerlukan dua buah khemah besar dan Pesta Buku Antarabangsa Arab Saudi memerlukan lebih kurang empat atau lima khemah besar. Tetapi di Mesir sungguh dasyat kerana kalau tidak silap saya, jumlah khemah yang digunakan lebih dari sepuluh buah khemah!
Saya dan isteri mengikuti rombongan yang dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Mansurah ke pesta tersebut. Seperti dijangka, satu hari tidak cukup untuk mengunjungi kesemua khemah yang ada. Oleh yang demikian, pada minggu yang berikutnya saya dan isteri pergi sendiri ke pesta buku tersebut. Antara target utama saya ialah untuk membeli Kitab Mausu’ah Fiqhiah al-Kuwaiti, cetakan Kementerian Waqaf dan Urusan Islam Kuwait, 45 jilid. Saya menjangkakan ianya lebih murah berbanding yang dijual di Arab Saudi. Saya dah servey harga kitab tersebut di Madinah dan harga paling murah yang saya dapati ialah di Maktabah Darul Nasihah iaitu hampir RM1,300. Malangnya kitab tersebut gagal saya temui di pesta buku tersebut. Akhirnya saya membeli beberapa buah kitab karangan ulama’ terkenal iaitu Prof. Dr. Yusuf al –Qardhawi, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili dan Syeikh Sa’id Hawa.
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili
Syeikh Said Hawa
Sempat juga saya singgah ke khemah dari Arab Saudi dan semestinya saya singgah ke bahagian pameran milik UIM. Alangkah terkejutnya saya apabila terserempak dengan rektor universiti UIM iaitu Prof.Dr. Muhammad bin Ali al – ‘Uqla.
Prof. Dr. Muhammad bin Ali al-'Uqla
Alhamdulillah, beliau masih mengenali saya. Beliau merupakan seorang yang sangat dikagumi oleh Mahasiswa UIM kerana perwatakannya yang sentiasa merendah diri dan mudah didekati. Sejak beliau mentadbir UIM kira – kira 2 tahun lepas, banyak perubahan yang telah dilaksanakan. Perubahan paling ketara ialah mehidupkan seminar – seminar dan ceramah – ceramah yang dihadiri oleh ulama’ terkenal sama ada dari dalam Arab Saudi mahu pun dari luar Arab Saudi. Selain dari itu, kemudahan asas dan kebajikan pelajar semakin lama semakin bertambah baik. Sebelum saya pulangkan ke Madinah, saya terjumpa Kitab Mausu’ah Fiqhiah di Maktabah al – Fayath, Mansurah. Setelah menghubungi sahabat saya Us.Ghazali yang juga merupakan pakar menilai jenis kitab, akhirnya saya beli juga kitab tersebut dengan harga lebih kurang RM490 kerana ia merupakan kitab yang telah diulang cetak dan kertasnya tidak sekualiti kitab asalnya. Us.Ghazali kata, kitab yang ana beli tu harganya lebih murah berbanding kitab yang sama jenis yang dijual di Arab Saudi.
“ Bacalah…” Ayat al – Quran yang pertama diturunkan menganjurkan kepada kita agar membaca kerana ia adalah permulaan untuk meneroka ilmu keluasannya tak terkata. Siapa yang mengejar ilmu, nescaya ilmu akan memeliharanya. Barangsiapa yang hanya mengejar wang semata – mata, maka beban dia untuk menjaga wang tersebut semakin bertambah. Ilmu yang dimiliki dan diamalkan menjadi penyebab kepada seseorang itu dimuliakan. Bermula dari sekarang, ke mana – mana sahaja kita berada, sekurang – kurangnya sebuah buku mesti ada di tangan. Ingat…" di celah – celah masa itu, ada ‘masa'." Sedang kita menunggu Star LRT, bermusafir, menunggu ceramah bermula, masih ada ruang untuk kita membaca. Oleh itu, marilah kita sama - sama MEMBUDAYAKAN AMALAN MEMBACA !!!

Read more...

Tuesday, February 16, 2010

:: Qisas, Mati Hidup Kembali ::

Oleh : DR. ISMAIL IBRAHIM

Pemuda Hamdan Al-Kaabi tidak pernah terlintas di dalam kepalanya bahawa pada pagi ia dibawa ke dataran Al-Bihar di kota Abha, kira-kira seribu kilometer dari Riydh, ibu kota Arab Saudi, untuk menerima hukuman mati kerana kesalahan membunuh ibu saudaranya dua tahun lalu, tiba-tiba akan terjadi sebaliknya, dan dia akan terlepas daripada hukuman itu.

Dia telah berada di dalam tahanan selama dua tahun yang lalu, kerana dia telah membunuh ibu saudara sebelah emaknya disebabkan oleh satu pertelingkahan keluarga. Dia didapati bersalah membunuh dengan sengaja dan dengan niat membunuh oleh mahkamah. Rayuannya mengikut proses perundangan telah selesai, dan semua peringkat mahkamah telah menetapkan hukuman mati (qisas) ke atasnya, malah telah ditandatangani oleh raja.

Pagi itu, hari Selasa 12 Disember 2006, sebelum waktu subuh, iaitu sebelum ia di bawa ke dataran Al-Bihar, untuk menjalani hukuman “memotong kepala” seperti yang biasa dijalankan di dataran tersebut bagi kesalahan membunuh, iaitu dengan hukuman qisas, ia terperanjat kerana tiba-tiba dua orang pegawai keselamatan datang berjumpa dengannya dan meminta dia mengucapkan selamat tinggal kepada rakan-rakan sebilik dengannya di dalam penjara itu.

Tidak lama kemudian, dia telah dibawa ke kamar pengarah penjara, dan diberitahu bahawa masanya telah tiba untuk ia menjalani hukuman menurut hukum syariah pada pagi itu. Ia tidak pun diberitahu tentang perlaksanaan hukuman ini sebelum ini. Waktu itu barulah ia terkenang beberapa rentetan peristiwa yang berlaku kepadanya pada malam sebelumnya. Pertama sekali, ia teringatkan perubahan yang berlaku kepada ayahnya ketika ia menghubunginya untuk bertanya khabar seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.

Bapanya menangis dengan teramat sangat ketika mengucapkan salam kepadanya di dalam telefon, dan dengan itu ia bercakap dengan ibunya pula, maka hal yang sama dilakukan oleh ibunya, yang amat sebak mengucapkan kata-kata akhir kepadanya di dalam telefon itu. Sebelum ini mereka berdua sering berbicara dengan nada yang biasa sahaja setiap kali dia menghubungi mereka melalui telefon.

Maka pada malam itu selepas menamatkan percakapan telefon dengan ibu bapanya, Hamdan merasakan bahawa mungkin masanya telah hampir untuk dia pergi buat selama-lamanya daripada alam dunia ini, iaitu dengan menjalani hukuman mati yang telah dijatuhkan kepadanya. Dia berasa amat gelisah, dan terus tidak dapat melelapkan matanya. Pada pagi subuh itulah, pengawal keamanan datang menemuinya dan memberitahunya tentang hukuman yang akan dijalankan kepadanya pada hari itu juga.

Hamdan merupakan seorang pesalah yang dikenakan hukuman qisas kerana membunuh. Qisas adalah hukuman bunuh balas mengikut kesalahan yang dilakukannya. Dia membunuh ibu saudaranya, maka dia sendiri harus dibunuh. Telah dua tahun dia meringkuk di dalam penjara, menunggu proses perundangan, dan setelah selesai semuanya maka hukuman itu haruslah dijalankan, supaya hutang nyawa tertebus dengan bayaran yang sama.

Sebelum menjalani persiapan akhir untuk menerima hukuman di dataran yang telah dipenuhi oleh orang ramai yang ingin menyaksikan hukuman ini, Hamdan telah diminta menulis wasiatnya yang terakhir.

Dia meninggalkan wasiat supaya keluarganya mengerjakan haji untuknya, menasihati adiknya supaya tidak terlibat dengan teman-teman yang menyeleweng, mendermakan semua organ badannya untuk para pesakit yang memerlukannya, tetapi diwasiatnya secara khusus supaya buah pinggangnya didermakan kepada salah seorang teman banduannya yang mengalami sakit buah pinggang.

Hamdan menghadapi semua persiapan pada pagi itu dengan tenang, dan dia menyerahkan dirinya kepada Allah yang Maha Kuasa, berpuasa semenjak dia diberitahu tentang pelaksanaan hukuman ini sebelum subuh tadi. Dia tentunya teringat bahawa masanya telah tiba untuk dia membayar hutang nyawanya kepada ibu saudaranya yang dibunuh itu.

Qisas mesti dijalankan mengikut hukuman Islam setelah semua keterangan dan bukti disabitkan tanpa keraguan. Malah di dalam undang-undang sekular yang kita amalkan juga, peruntukan hukuman bunuh adalah termaktub dan tetap akan dilaksanakan setelah kes itu dapat dibuktikan di dalam proses perbicaraan di semua peringkat mahkamah.

Ketika Hamdan dibawa ke dataran Al-Bihar untuk menjalani hukuman, ia dirantai, berjalan dengan serba kepayahan dan pemikirannya buntu sama sekali, yang diingatnya ialah mati sahaja. Peristiwa yang akan berlaku ini disaksikan oleh ramai sanak saudara dan penduduk tempatan, semuanya mempunyai perasaan yang bercampur aduk, kasihan, simpati, gerun dan takut, ataupun berserah sahaja kepada Allah yang menetapkan hukuman ini.

Antara orang ramai yang berada di dataran tersebut terdapat bapa saudaranya sendiri, yang juga bernama Hamdan dari keluarga Al-Umri. Bapa saudaranya ini ialah abang kepada ibu saudaranya yang dibunuhnya itu, dan dia juga adalah wakil keluarga si mati, yang mewakili semua ahli keluarganya dalam kes qisas ini.

Dalam hukuman qisas, keluarga mangsa, mempunyai kata terakhir, iaitu sama ada akan mengampunkan pesalah atau tidak. Sekiranya keluarga mangsa bersetuju untuk mengampunkan pesalah, dengan beberapa syarat atau tanpa syarat, maka dengan itu si pembunuh akan terlepas daripada hukuman.

Namun sehingga ke saat-saat akhir, wakil mangsa, iaitu bapa saudara pembunuh, Hamdan Al-Umri, yang sedang melihat anak saudaranya dibawa ke tempat pelaksanaan hukuman, tetap mengatakan bahawa ia tidak akan mengampunkan anak saudaranya itu. Hingga saat-saat terakhir ini juga dia dirayu dan ditangisi oleh ahli-ahli keluarganya agar mengampunkan anak saudaranya itu, tetapi ia tetap berkeras. Dalam perjalanan yang dirasakan amat berat oleh Hamdan dengan rantai yang mengikatnya, dan separuh kepalanya telah tertutup, ia merenung bapa saudaranya, wakil ahli keluarganya dalam kes ini.

Lalu ia berkata kepada bapa saudaranya itu dengan sayu, “Pak cik, Allah peliharakan kamu, Allah peliharakan kamu, pak cik,” pak ciknya tidak bergerak dan tidak berkata apa-apa, sehingga apabila ahli keluarganya yang lain merayunya supaya mengampuni anak saudaranya itu, ia tetap dengan pendiriannya. “Inilah balasannya terhadap perbuatan tanganmu sendiri,” jeritnya kepada anak saudaranya itu di hadapan orang ramai yang sedang menyaksikan pandangan yang amat mengharukan itu.

Kes qisas berbeza dengan peruntukan undang-undang sivil yang kita jalankan. Undang-undang sivil menentukan bahawa hak memberi keampunan bagi hukuman jenayah bunuh setelah selesai semua proses kehakiman dan perundangan, adalah terletak di tangan raja. Tetapi qisas memberikan hak keampunan ini kepada keluarga si mangsa. Maka dalam kes ini, abang mangsa, iaitu bapa saudara pembunuh sendiri, telah diberi mandat untuk mewakili mereka dalam keputusan yang bakal diambil, sama ada akan mengampunkan kesalahan anak saudaranya itu atau tidak.

Setelah Hamdan diselubungi dengan tutup kepala dan muka, melutut di atas tanah dengan kepalanya terletak di atas alas yang disediakan untuk menerima hukuman, seperti yang diterima puluhan penjenayah sebelum ini, tiba-tiba dalam tangisan dan teriakan, Hamdan Al-Umri, wakil keluarga mangsa, menjerit sekuat-kuat hatinya mengampunkan mangsa, anak saudaranya Hamdan Al-Kaabi itu.

Pengucapan ampunnya yang diucapkan secara spontan pada saat terakhir yang amat genting itu, segera disambut oleh takbir dan tahmid serta jeritan dan tangisan para hadirin yang memenuhi dataran tersebut. Mereka berpekik menyeru nama Allah, bersyukur kepada Allah, dan pekikan itu disambut dengan jeritan sedih, esak tangis yang meninggi dan suara-suara yang tidak tentu butirannya, semuanya memecahkan kesunyian dan keheningan yang menyelubungi dataran itu sebentar tadi.

Al-Umri, wakil keluarga yang mengampuni Hamdan, tidak menuntut sesuatu balasan kebendaan daripada anak saudaranya seperti yang biasa juga dilakukan oleh sesetengah keluarga mangsa, yang meminta balasan wang untuk mendapatkan keampunan. Ia mengampunkannya semata-mata kerana Allah s.w.t. Ia tidak perlukan sebarang ganjaran di dunia ini, tetapi hanya mengharapkan ganjaran daripada Allah semata-mata. Syaratnya kepada anak saudaranya itu satu sahaja, iaitu ia hendaklah keluar segera dari daerah keluarganya untuk mengelakkan kekacauan dan masalah yang mungkin berbangkit pada masa yang akan datang.

Hamdan Al-Kaabi dengan itu terlepas daripada hukuman mati, dan hal ini memberikan satu pengalaman yang amat luar biasa kepadanya, dia seolah-olah telah mati tetapi dihidupkan kembali. Bapa saudaranya itulah yang memberikan penghidupan yang baru kepadanya. Dia bersyukur dan sujud kepada Allah, insaf, sayu dan menyesal di atas perilakunya yang lalu. Dia mengharapkan keampunan daripada Allah, dan akan terus menunaikan haji pada tahun ini juga untuk memulakan satu penghidupan baru yang suci dan diredai Allah.

Dataran yang bakal menyaksikan satu lagi kepala bercerai daripada badan pada hari itu semakin ditinggalkan orang. Di antara yang berjalan meninggalkan dataran itu, tentulah terdapat ramai orang yang diselubungi dengan pelbagai perasaan. Yang insaf dan takut, mengambil pelajaran untuk tidak akan cuba melakukan perbuatan jenayah yang amat berat itu. Yang menyaksikan pedang yang telah terhunus dan kepala yang bakal diceraikan dari jasad penjenayah, berasa ngeri dan gerun, maka hal ini meninggalkan kesan yang mendalam kepadanya untuk menjadi orang yang baik. Yang sedar akan rahmat dan nikmat Allah, akan menghargai nilai mengampunkan orang yang melakukan kesalahan dan memberikan keinsafan atau kehidupan baru kepada mereka.

Memang sepintas lalu kelihatan hukuman ini amat kejam, terutamanya apabila dijalankan di hadapan awam. Tetapi ada kalanya hal ini memberikan kesan yang baik kepada orang-orang yang mahu insaf, khususnya jika pihak berkuasa mengehadkan umur orang awam yang menghadirinya, supaya tidak terdapat kanak-kanak yang akan menyaksikan pelaksanaan hukuman tersebut.

Sesungguhnya qisas adalah hak Allah yang perlu dijalankan, tetapi kuasa menjalankannya diserahkan juga kepada manusia, iaitu kepada keluarga mangsa. Maka keluarga yang mengampunkan penjenayah, ahli keluarga ini mendapat rahmat daripada Allah, dan pemberian kehidupan baru kepada penjenayah amatlah diharapkan akan menjadi satu anugerah yang paling berharga untuk pelajaran dan pengalaman penjenayah itu, agar penjenayah dapat mengesani dirinya, mencerminkan muka dan jasadnya serta jiwanya, kerana ia telah diberikan satu kehidupan yang baru setelah ia sepatutnya telah mati dan berpisah dari alam maya ini.

http://tp-tazkirah.blogspot.com/2006/12/qisas-mati-hidup-kembali.html

Artikel saya sebelum ni juga ada membicarakan pengalaman saya sendiri menyaksikan peristiwa yang sangat hebat ini. Boleh layari di:

http://asshikhanipah.blogspot.com/2009/09/qisas-di-madinah.html

Read more...

Saturday, February 13, 2010

:: Kunjungan Hormat ke PMRAM ::

KAHERAH, 11 Februari - Satu pertemuan diadakan dengan Badan Pengurus PMRAM di pejabat operasinya yang terletak di Hayyi 'Asyir, Kaherah. Sdr Mohd Asshik bin Abu Hanipah telah ditemani dua orang lagi mewakili pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dalam kunjungan tersebut. Pertemuan yang berlangsung selama lebih kurang dua jam itu telah berakhir dengan beberapa perkara yang melibatkan hubungan kedua - dua pihak. Antara perkara yang menjadi perhatian ialah usaha untuk mengukuhkan hubungan dua hala melalui pelbagai program.


Bergambar bersama exco - exco PMRAM

" Sebenarnya, hubungan kita telah lama wujud. Contohnya, boleh dikatakan hampir saban tahun pihak PMRAM akan meminta bantuan dari pelajar Madinah ketika musim haji. Alangkah indahnya apabila hubungan ini dapat diluaskan dalam pelbagai aspek," kata Mohd Asshik. Kedua - dua pihak juga sempat berkongsi pengalaman dan kemahiran masing - masing dalam mengurus dan membangunkan ahli. Semoga pertemuan yang singkat tersebut dapat dijadikan sebagai titik permulaan untuk terus berganding bahu dalam segenap perkara.

Read more...

Tuesday, February 9, 2010

:: Percutian yang Mengasyikkan ::

“ Alhamdulillah, akhirnya selesai juga musim peperiksaan semester ini…” Begitulah antara ungkapan yang terkeluar dari bibir – bibir Mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah (UIM). Berakhirnya musim yang sungguh mencabar tersebut merupakan tanda bermulanya musim cuti yang sudah dibayangkan oleh Mahasiswa UIM dengan pelbagai aktiviti dan program. Bagi mereka yang telah menerima keputusan peperiksaan, lulus dengan cemerlang atau keputusan kurang memberangsangkan tidak akan menjadi penghalang kepada penghayatan musim cuti yang diidam – idamkan.

Apabila ditanya berkenaan program atau aktiviti yang akan dilaksanakan, maka bermacam – macam jenis perkara yang kita akan dengar. Ada yang hendak bercuti di tanah air bersama orang - orang tersayang, ziarah ke tempat – tempat bersejarah di Arab Saudi, menunaikan umrah, dan lain – lain. Pada 3 – 5 Feb baru – baru ni, lebih kurang 40 orang pelajar mengikuti program yang diberi nama UTAJED, singkatan kepada program rehlah (Umrah+Taif+Jeddah). Saya diberitakan program tersebut berjalan dengan lancar dan para peserta sangat gembira. Sehari sebelum program tersebut, satu pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yg.Berhormat Dato’ Razali Ibrahim. Majlis Ramah Mesra tersebut diadakan di Hotel Sharq Manazili. Terima kasih diucapkan kepada sahabat karib saya, Us. Abdul Aziz bin Abbas kerana sudi mengganti saya untuk berucap mewakili pelajar. Sebahagian kecil pelajar mengambil peluang waktu cuti ni untuk menjelajah ke negara – negara yang berjiran dengan Arab Saudi untuk menimba pengalaman baru seperti Jordan, Syria, Mesir, Qatar dan paling jauh di UK. Seperti biasa, saya ke taman ilmu kedua saya iaitu Mesir untuk menziarahi isteri tercinta. Kali ni saya tidak keseorangan, bersama saya ialah pengantin baru Us.Azhar Abd Rahman. Beliau baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan Mahasiswi al-Azhar iaitu Ustazah. Athirah bt Ajos yang juga sahabat sepengajian isteri saya. Lagi satu program yang sangat digalakkan untuk disertai ialah Daurah Ilmiah yang diadakan di Masjid Balawi iaitu antara masjid yang paling hampir dengan kampus. Ia merupakan program tahunan yang diadakan oleh pihak masjid khusus sempena berakhirnya peperiksaan.

Berjamu dengan jemaah umrah dari Malaysia



Sebelum berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah Jamuan juadah arab besar - besaran

Secara umumnya, setiap matlamat bagi program – program tersebut ialah untuk mendapatkan sesuatu hasil yang baik dan menyeronokkan. Sebagai contohnya program ziarah ke tempat – tempat bersejarah. Selain kita dapat melihat tempat tersebut secara langsung dan mengetahui kisah yang telah menjadi lipatan sejarah, kita juga dapat merapatkan ukhuwwah sesama kita kerana antara cara untuk kita mengenali sahabat ialah ketika kita bermusafir dengannya. Babak – babak seperti solat berjemaah di sesuatu perhentian, makan bersama, menginap di tempat yang tidak semewah tempat kita akan menjadi satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Sekiranya apa yang digambarkan ini berlaku, maka percutian yang dilalui merupakan satu percutian yang ‘mengasyikkan’!

Wahai sahabat sekalian, bagaimana pula mereka yang langsung tidak merancang sesuatu untuk memanfaatkan musim cuti ini? Atau ada di kalangan kita yang telah pun merancang program – program mereka dengan hanya bermain ‘game’, tidur, menonton filem – filem hiburan dan sebagainya…Sedarlah wahai sahabatku…Nikmat berada di bumi Madinah yang penuh barakah ini merupakan pemberian dari Allah Ta’ala yang sangat tinggi nilainya. Berbekalkan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu di Madinah sejak mula melangkah keluar dari rumah telah mula terhakis sedikit demi sedikit. Tidak mustahil program yang matlamat asalnya baik tetapi kesudahannya tidak boleh dibanggakan. Antara faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku ialah kemahiran kita dalam mengutamakan di antara dua perkara yang utama. Contoh mudah untuk kita faham ialah kita mengadakan jamuan makan selepas solat maghrib. Pada asalnya, aktiviti seumpama ini adalah suatu perkara yang sangat baik kerana ia boleh mengeratkan ukhuwwah sesama sahabat tetapi cara pemilihan waktu tersebut adalah tidak sesuai kerana kita sedia maklum bahawa lazimnya selepas solat maghrib merupakan peluang keemasan untuk kita mengambil manfaat di majlis – majlis ilmu sama ada di Masjid Nabawi atau di tempat – tempat lain.

Untuknya akhirnya, sekali lagi saya menasihati diri saya dan teman – teman seperjuangan agar dapat memanfaatkan semaksima mungkin di musim cuti ini. InsyaAllah, selepas tamat cuti ni, kita akan berkumpul bersama – sama dan berkongsi pengalaman masing – masing. Jangan lupa rakam gambar – gambar menarik!

Read more...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP