Tuesday, February 9, 2010

:: Percutian yang Mengasyikkan ::

“ Alhamdulillah, akhirnya selesai juga musim peperiksaan semester ini…” Begitulah antara ungkapan yang terkeluar dari bibir – bibir Mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah (UIM). Berakhirnya musim yang sungguh mencabar tersebut merupakan tanda bermulanya musim cuti yang sudah dibayangkan oleh Mahasiswa UIM dengan pelbagai aktiviti dan program. Bagi mereka yang telah menerima keputusan peperiksaan, lulus dengan cemerlang atau keputusan kurang memberangsangkan tidak akan menjadi penghalang kepada penghayatan musim cuti yang diidam – idamkan.

Apabila ditanya berkenaan program atau aktiviti yang akan dilaksanakan, maka bermacam – macam jenis perkara yang kita akan dengar. Ada yang hendak bercuti di tanah air bersama orang - orang tersayang, ziarah ke tempat – tempat bersejarah di Arab Saudi, menunaikan umrah, dan lain – lain. Pada 3 – 5 Feb baru – baru ni, lebih kurang 40 orang pelajar mengikuti program yang diberi nama UTAJED, singkatan kepada program rehlah (Umrah+Taif+Jeddah). Saya diberitakan program tersebut berjalan dengan lancar dan para peserta sangat gembira. Sehari sebelum program tersebut, satu pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yg.Berhormat Dato’ Razali Ibrahim. Majlis Ramah Mesra tersebut diadakan di Hotel Sharq Manazili. Terima kasih diucapkan kepada sahabat karib saya, Us. Abdul Aziz bin Abbas kerana sudi mengganti saya untuk berucap mewakili pelajar. Sebahagian kecil pelajar mengambil peluang waktu cuti ni untuk menjelajah ke negara – negara yang berjiran dengan Arab Saudi untuk menimba pengalaman baru seperti Jordan, Syria, Mesir, Qatar dan paling jauh di UK. Seperti biasa, saya ke taman ilmu kedua saya iaitu Mesir untuk menziarahi isteri tercinta. Kali ni saya tidak keseorangan, bersama saya ialah pengantin baru Us.Azhar Abd Rahman. Beliau baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan Mahasiswi al-Azhar iaitu Ustazah. Athirah bt Ajos yang juga sahabat sepengajian isteri saya. Lagi satu program yang sangat digalakkan untuk disertai ialah Daurah Ilmiah yang diadakan di Masjid Balawi iaitu antara masjid yang paling hampir dengan kampus. Ia merupakan program tahunan yang diadakan oleh pihak masjid khusus sempena berakhirnya peperiksaan.

Berjamu dengan jemaah umrah dari Malaysia



Sebelum berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah Jamuan juadah arab besar - besaran

Secara umumnya, setiap matlamat bagi program – program tersebut ialah untuk mendapatkan sesuatu hasil yang baik dan menyeronokkan. Sebagai contohnya program ziarah ke tempat – tempat bersejarah. Selain kita dapat melihat tempat tersebut secara langsung dan mengetahui kisah yang telah menjadi lipatan sejarah, kita juga dapat merapatkan ukhuwwah sesama kita kerana antara cara untuk kita mengenali sahabat ialah ketika kita bermusafir dengannya. Babak – babak seperti solat berjemaah di sesuatu perhentian, makan bersama, menginap di tempat yang tidak semewah tempat kita akan menjadi satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Sekiranya apa yang digambarkan ini berlaku, maka percutian yang dilalui merupakan satu percutian yang ‘mengasyikkan’!

Wahai sahabat sekalian, bagaimana pula mereka yang langsung tidak merancang sesuatu untuk memanfaatkan musim cuti ini? Atau ada di kalangan kita yang telah pun merancang program – program mereka dengan hanya bermain ‘game’, tidur, menonton filem – filem hiburan dan sebagainya…Sedarlah wahai sahabatku…Nikmat berada di bumi Madinah yang penuh barakah ini merupakan pemberian dari Allah Ta’ala yang sangat tinggi nilainya. Berbekalkan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu di Madinah sejak mula melangkah keluar dari rumah telah mula terhakis sedikit demi sedikit. Tidak mustahil program yang matlamat asalnya baik tetapi kesudahannya tidak boleh dibanggakan. Antara faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku ialah kemahiran kita dalam mengutamakan di antara dua perkara yang utama. Contoh mudah untuk kita faham ialah kita mengadakan jamuan makan selepas solat maghrib. Pada asalnya, aktiviti seumpama ini adalah suatu perkara yang sangat baik kerana ia boleh mengeratkan ukhuwwah sesama sahabat tetapi cara pemilihan waktu tersebut adalah tidak sesuai kerana kita sedia maklum bahawa lazimnya selepas solat maghrib merupakan peluang keemasan untuk kita mengambil manfaat di majlis – majlis ilmu sama ada di Masjid Nabawi atau di tempat – tempat lain.

Untuknya akhirnya, sekali lagi saya menasihati diri saya dan teman – teman seperjuangan agar dapat memanfaatkan semaksima mungkin di musim cuti ini. InsyaAllah, selepas tamat cuti ni, kita akan berkumpul bersama – sama dan berkongsi pengalaman masing – masing. Jangan lupa rakam gambar – gambar menarik!

1 comments:

Ahmad Feb 10, 2010, 8:27:00 AM  

Slm buat kekandaku,moga terus ceria di bumi madinah.Ana tercari-cari email nta ni.Ada nak tanya satu dua soalan berkaitan aqidah 3 serangkai ni coz ia jadi isu besar sekarang di kampus.Bagi ana nta lah yang arif nak jawab...hehe..So mklum email nta ke email ana penahati2020@yahoo.com

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP