Sunday, February 28, 2010

:: Pesta Buku Antarabangsa Kaherah ::




Setibanya saya ke Mesir pada awal bulan Februari tahun lepas, Pesta Buku Antarabangsa Mesir baru sahaja melabuhkan tirainya. Hasrat untuk menyaksikan pesta buku yang terbesar di dunia sebagaimana yang dikatakan itu tidak kesampaian. Walaubagaimana pun, pada tahun ini saya sempat mengunjungi pesta buku tersebut. Betapa girangnya hati saya apabila menjejaki tapak pesta tersebut. Maka benarlah apa yang dikatakan orang, sungguh luas kawasannya. Biasanya pesta buku anjuran Universiti Islam Madinah (UIM) hanya memerlukan dua buah khemah besar dan Pesta Buku Antarabangsa Arab Saudi memerlukan lebih kurang empat atau lima khemah besar. Tetapi di Mesir sungguh dasyat kerana kalau tidak silap saya, jumlah khemah yang digunakan lebih dari sepuluh buah khemah!
Saya dan isteri mengikuti rombongan yang dianjurkan oleh Dewan Perwakilan Mansurah ke pesta tersebut. Seperti dijangka, satu hari tidak cukup untuk mengunjungi kesemua khemah yang ada. Oleh yang demikian, pada minggu yang berikutnya saya dan isteri pergi sendiri ke pesta buku tersebut. Antara target utama saya ialah untuk membeli Kitab Mausu’ah Fiqhiah al-Kuwaiti, cetakan Kementerian Waqaf dan Urusan Islam Kuwait, 45 jilid. Saya menjangkakan ianya lebih murah berbanding yang dijual di Arab Saudi. Saya dah servey harga kitab tersebut di Madinah dan harga paling murah yang saya dapati ialah di Maktabah Darul Nasihah iaitu hampir RM1,300. Malangnya kitab tersebut gagal saya temui di pesta buku tersebut. Akhirnya saya membeli beberapa buah kitab karangan ulama’ terkenal iaitu Prof. Dr. Yusuf al –Qardhawi, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili dan Syeikh Sa’id Hawa.
Prof. Dr. Yusuf Qardhawi
Prof. Dr. Wahbah Zuhaili
Syeikh Said Hawa
Sempat juga saya singgah ke khemah dari Arab Saudi dan semestinya saya singgah ke bahagian pameran milik UIM. Alangkah terkejutnya saya apabila terserempak dengan rektor universiti UIM iaitu Prof.Dr. Muhammad bin Ali al – ‘Uqla.
Prof. Dr. Muhammad bin Ali al-'Uqla
Alhamdulillah, beliau masih mengenali saya. Beliau merupakan seorang yang sangat dikagumi oleh Mahasiswa UIM kerana perwatakannya yang sentiasa merendah diri dan mudah didekati. Sejak beliau mentadbir UIM kira – kira 2 tahun lepas, banyak perubahan yang telah dilaksanakan. Perubahan paling ketara ialah mehidupkan seminar – seminar dan ceramah – ceramah yang dihadiri oleh ulama’ terkenal sama ada dari dalam Arab Saudi mahu pun dari luar Arab Saudi. Selain dari itu, kemudahan asas dan kebajikan pelajar semakin lama semakin bertambah baik. Sebelum saya pulangkan ke Madinah, saya terjumpa Kitab Mausu’ah Fiqhiah di Maktabah al – Fayath, Mansurah. Setelah menghubungi sahabat saya Us.Ghazali yang juga merupakan pakar menilai jenis kitab, akhirnya saya beli juga kitab tersebut dengan harga lebih kurang RM490 kerana ia merupakan kitab yang telah diulang cetak dan kertasnya tidak sekualiti kitab asalnya. Us.Ghazali kata, kitab yang ana beli tu harganya lebih murah berbanding kitab yang sama jenis yang dijual di Arab Saudi.
“ Bacalah…” Ayat al – Quran yang pertama diturunkan menganjurkan kepada kita agar membaca kerana ia adalah permulaan untuk meneroka ilmu keluasannya tak terkata. Siapa yang mengejar ilmu, nescaya ilmu akan memeliharanya. Barangsiapa yang hanya mengejar wang semata – mata, maka beban dia untuk menjaga wang tersebut semakin bertambah. Ilmu yang dimiliki dan diamalkan menjadi penyebab kepada seseorang itu dimuliakan. Bermula dari sekarang, ke mana – mana sahaja kita berada, sekurang – kurangnya sebuah buku mesti ada di tangan. Ingat…" di celah – celah masa itu, ada ‘masa'." Sedang kita menunggu Star LRT, bermusafir, menunggu ceramah bermula, masih ada ruang untuk kita membaca. Oleh itu, marilah kita sama - sama MEMBUDAYAKAN AMALAN MEMBACA !!!

1 comments:

Anonymous,  Mar 1, 2010, 1:11:00 AM  

menarik tulisan ustaz.teruskan menulis!

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP