Tuesday, February 9, 2010

:: Percutian yang Mengasyikkan ::

“ Alhamdulillah, akhirnya selesai juga musim peperiksaan semester ini…” Begitulah antara ungkapan yang terkeluar dari bibir – bibir Mahasiswa Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah (UIM). Berakhirnya musim yang sungguh mencabar tersebut merupakan tanda bermulanya musim cuti yang sudah dibayangkan oleh Mahasiswa UIM dengan pelbagai aktiviti dan program. Bagi mereka yang telah menerima keputusan peperiksaan, lulus dengan cemerlang atau keputusan kurang memberangsangkan tidak akan menjadi penghalang kepada penghayatan musim cuti yang diidam – idamkan.

Apabila ditanya berkenaan program atau aktiviti yang akan dilaksanakan, maka bermacam – macam jenis perkara yang kita akan dengar. Ada yang hendak bercuti di tanah air bersama orang - orang tersayang, ziarah ke tempat – tempat bersejarah di Arab Saudi, menunaikan umrah, dan lain – lain. Pada 3 – 5 Feb baru – baru ni, lebih kurang 40 orang pelajar mengikuti program yang diberi nama UTAJED, singkatan kepada program rehlah (Umrah+Taif+Jeddah). Saya diberitakan program tersebut berjalan dengan lancar dan para peserta sangat gembira. Sehari sebelum program tersebut, satu pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Yg.Berhormat Dato’ Razali Ibrahim. Majlis Ramah Mesra tersebut diadakan di Hotel Sharq Manazili. Terima kasih diucapkan kepada sahabat karib saya, Us. Abdul Aziz bin Abbas kerana sudi mengganti saya untuk berucap mewakili pelajar. Sebahagian kecil pelajar mengambil peluang waktu cuti ni untuk menjelajah ke negara – negara yang berjiran dengan Arab Saudi untuk menimba pengalaman baru seperti Jordan, Syria, Mesir, Qatar dan paling jauh di UK. Seperti biasa, saya ke taman ilmu kedua saya iaitu Mesir untuk menziarahi isteri tercinta. Kali ni saya tidak keseorangan, bersama saya ialah pengantin baru Us.Azhar Abd Rahman. Beliau baru sahaja mendirikan rumahtangga dengan Mahasiswi al-Azhar iaitu Ustazah. Athirah bt Ajos yang juga sahabat sepengajian isteri saya. Lagi satu program yang sangat digalakkan untuk disertai ialah Daurah Ilmiah yang diadakan di Masjid Balawi iaitu antara masjid yang paling hampir dengan kampus. Ia merupakan program tahunan yang diadakan oleh pihak masjid khusus sempena berakhirnya peperiksaan.

Berjamu dengan jemaah umrah dari Malaysia



Sebelum berlepas ke Makkah untuk menunaikan umrah Jamuan juadah arab besar - besaran

Secara umumnya, setiap matlamat bagi program – program tersebut ialah untuk mendapatkan sesuatu hasil yang baik dan menyeronokkan. Sebagai contohnya program ziarah ke tempat – tempat bersejarah. Selain kita dapat melihat tempat tersebut secara langsung dan mengetahui kisah yang telah menjadi lipatan sejarah, kita juga dapat merapatkan ukhuwwah sesama kita kerana antara cara untuk kita mengenali sahabat ialah ketika kita bermusafir dengannya. Babak – babak seperti solat berjemaah di sesuatu perhentian, makan bersama, menginap di tempat yang tidak semewah tempat kita akan menjadi satu kenangan manis yang tidak akan dilupakan. Sekiranya apa yang digambarkan ini berlaku, maka percutian yang dilalui merupakan satu percutian yang ‘mengasyikkan’!

Wahai sahabat sekalian, bagaimana pula mereka yang langsung tidak merancang sesuatu untuk memanfaatkan musim cuti ini? Atau ada di kalangan kita yang telah pun merancang program – program mereka dengan hanya bermain ‘game’, tidur, menonton filem – filem hiburan dan sebagainya…Sedarlah wahai sahabatku…Nikmat berada di bumi Madinah yang penuh barakah ini merupakan pemberian dari Allah Ta’ala yang sangat tinggi nilainya. Berbekalkan niat yang ikhlas dan semangat yang tinggi untuk menuntut ilmu di Madinah sejak mula melangkah keluar dari rumah telah mula terhakis sedikit demi sedikit. Tidak mustahil program yang matlamat asalnya baik tetapi kesudahannya tidak boleh dibanggakan. Antara faktor yang menyebabkan fenomena ini berlaku ialah kemahiran kita dalam mengutamakan di antara dua perkara yang utama. Contoh mudah untuk kita faham ialah kita mengadakan jamuan makan selepas solat maghrib. Pada asalnya, aktiviti seumpama ini adalah suatu perkara yang sangat baik kerana ia boleh mengeratkan ukhuwwah sesama sahabat tetapi cara pemilihan waktu tersebut adalah tidak sesuai kerana kita sedia maklum bahawa lazimnya selepas solat maghrib merupakan peluang keemasan untuk kita mengambil manfaat di majlis – majlis ilmu sama ada di Masjid Nabawi atau di tempat – tempat lain.

Untuknya akhirnya, sekali lagi saya menasihati diri saya dan teman – teman seperjuangan agar dapat memanfaatkan semaksima mungkin di musim cuti ini. InsyaAllah, selepas tamat cuti ni, kita akan berkumpul bersama – sama dan berkongsi pengalaman masing – masing. Jangan lupa rakam gambar – gambar menarik!

Read more...

Saturday, January 30, 2010

:: Kemalangan Jalan Raya di Makkah ::

Makkah: Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, saudara Shahfendi bin Saad terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dekat sini. Kejadian yang berlaku semalam ini menyebabkan seorang jemaah umrah dari Malaysia meninggal dunia. Kesemua mangsa dalam perjalanan sebuah kereta dari Madinah menuju ke Makkah untuk menunaikan umrah. Saudara Shahfendi bin Saad bersama tiga orang lagi jemaah Malaysia yang terlibat dalam kemalangan tersebut dalam keadaan stabil. Saudara Shahfendi ditempatkan di Hospital an-Nur, Aziziah manakala mangsa lain ditempatkan di hospital yang berasingan. Punca kemalangan belum dikenalpasti dan masih disiasat.

Read more...

Sunday, January 17, 2010

:: Tamat Jua Akhirnya ::


Sekadar ingin berkongsi setelah memerah otak mengulangkaji pelajaran sempena pepekriksaan...Alhamdulillah, baru - baru ni saya dan beberapa orang sahabat berjaya menamatkan pengajian talaqi terhadap dua buah kitab. Tempoh yang diambil untuk menyelesaikannya lebih kurang setahun setengah.

Kitab pertama ialah, Matan Abi Syuja' dan saya menggunakan Kitab Kifayatul Akhyar karangan Imam Taqiyuddin Abi Bakar bin Muhammad bin Abdi al-Mu'min al-Hisni al-Husaini ad-Dimasyqi as-Syafie r.a sebagai syarahan kepada matan tersebut. Fadhilah as-Syeikh Dr Ahmad bin Ali al-Maqrami al-Yamani merupakan guru yang mengajar kitab ini. Beliau meruapakan tenaga pengajar Fiqh as-Syafie di Masjid Nabawi dan saya mendapat tahu beliau juga merupakan salah seorang pensyarah di Madinah al-Munawwarah Islamic University (MEDIU) yang ibu pejabatnya di Shah Alam, Selangor. Pengajian kami berlangsung di Masjid Nabawi pada setiap hari selepas solat asar dan diadakan secara bergilir - gilir mengikut kumpulan - kumpulan kecil. Setakat ini, terdapat dua kumpulan dari pelajar Malaysia dan selebihnya sahabat - sahabat dari pelbagai negara. Alhamdulillah, sekarang kami telah pun memulakan bacaan bagi kitab baru iaitu Minhaj al-Tolibin wa 'Umdatu al-Muftin karangan Imam Mahyuddin Abi Zakariya Yahya bin Syaraf an-Nawawi r.a. Sebelum ini, kami juga sempat menadah kitab yang bernama al-Luma' fi Usul al-Fiqh karangan Imam Abi Ishaq Ibrahim bin 'Ali as-Syairazi, tetapi disebabkan jadual syeikh yang padat dengan kuliahnya, maka pengajian kitab tersebut tergendala buat sementara waktu.

Kitab kedua pula ialah Kasyfu Syubahat yang disyarahkan oleh as-Syeikh Muhammad bin Ibrahim Aali as-Syeikh. Kitab ini kami baca dengan Fadhilah as-Syeikh Khalid ad-Duwaish di rumahnya pada setiap hari Selasa selepas Isyak. Beliau merupakan pensyarah al-Quran di Pusat Bahasa Arab, Univ. Islam Madinah. Sebelum ini, kami telah pun menamatkan beberapa kitab kecil dengan beliau antaranya ialah syarah Hadith 40 Imam Nawawi. Buat masa ini, kami belum memutuskan untuk memilih kitab mana yang akan kami baca selepas ini.

Antara talaqi yang masih berjalan ialah bacaan Matan Lum'atul 'Itiqad karangan Imam Muafiq ad-Din Abi Muhammad Abdullah bin Ahmad bin Muhammad bin Qudamah al-Maqdisi. Matan ini saya baca dengan Prof. Dr. Abdul Karim al-Hasyimi di pejabatnya di Masjdi Nabawi pada setiap hari Isnin selepas maghrib. Beliau merupakan pensyarah bidang hadith di Univ.Islam Madinah dan Mufti Masjid Nabawi as-Syarif.

Semoga segala ilmu yang dipelajari ini dapat memberi manfaat kepada diri saya ini dan saya berharap akan dapat memanfaatkan segala ilmu ini untuk masyarakat kelak. Jazahumullahu khairan kepada semua guru - guru saya atas jasa mereka kepada saya. Tidak lupa juga kepada Fadhilah as-Syeikh Husin bin Ahmad bin Abdullah Aali 'Ali an-Najran yang menjadi penyebab kepada saya untuk lebih berminat kepada ilmu-ilmu Bahasa 'Arab dan saya juga berjaya menamatkan talaqi bersamanya dengan menggunakan kitab karangannya sendiri iaitu al-Mughni fi Ta'limi an-Nahwi. Beliau merupakan pensyarah Bahasa Arab di Pusat Bahasa Arab, Univ.Islam Madinah.

Read more...

Thursday, January 14, 2010

:: JADUAL PEPERIKSAAN ::


TARIKH HARI SUBJEK

23/1 Sabtu FIQH 4
24/1 Ahad NAHU 4
25/1 Isnin
26/1 Selasa TAUHID 4
27/1 Rabu HADITH 3 & HADHIR ‘ALAM ISLAMI
28/1 Khamis
29/1 Jumaat
30/1 Sabtu USUL FIQH 4
31/1 Ahad TAFSIR AL- QURAN 3
* Sila bawa jadual exam dan kad pelajar ke dewan peperiksaan atau anda tidak dibenarkan masuk.

Read more...

Wednesday, January 13, 2010

:: Selamat Menempuh Peperiksaan ::


Assalamualaikum wbt...

Segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga Baginda dan para Sahabat Baginda serta seluruh umat Baginda.

Sahabat - sahabat Mahasiswa Malaysia Universiti Islam Madinah yang dihormati dan dikasihi sekalian...

Apabila kita mengenang kembali saat permulaan bergelar sebagai Mahasiswa Universiti Islam Madinah, sudah pasti kita terbayang wajah - wajah yang penuh ceria dan bersyukur kerana dipilih oleh Allah untuk menjadi sebahagian penduduk Madinah. Pengetahuan tentang kelebihan - kelebihan Madinah yang tiada tolok bandingnya, membuatkan kita berazam untuk memastikan setiap saat ketika berada di sini akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan menggali mutiara - mutiara ilmu dan membentuk peribadi yang mulia. Maka, pelbagai perancangan dan sasaran telah kita susun, segala gerak kerja ke arah mencapai matlamat tersebut telah dilakarkan. Bergeraklah kita ke pelbagai sudut dan ruang, berkorbanlah kita dengan tenaga, masa, harta dan sebagainya...semata - mata untuk memastikan segala yang dihajatkan berjaya dicapai dengan penuh gilang - gemilang.

Setelah berlalunya hari demi hari, bulan - demi bulan, kita perasan bahawa trek yang kita lalui ini seakan - akan bengkok, tetapi sebenarnya kita yang berjalan terhuyung - hayang. Salah satu sebab ketidakstabilan kita itu adalah datangnya pelbagai ujian dan cabaran. Mudahnya, siapa yang kuat insyaAllah dia akan berjaya dan siapa yang lemah, kegagalan sedang menantinya.

Oleh yang demikian, kita kena sedar bahawa matlamat yang besar ini adalah matlamat bersama dan ianya memerlukan perancangan yang tersusun. Pakar pengurusan bersepakat bahawa kejayaan sesebuah pasukan itu bergantung kepada komitmen setiap ahlinya. Jangan sesekali kita membiarkan sahabat kita terhanyut dan kita tidak mahu melihat ada di kalangan kita yang hanya mementingkan diri sendiri dalam mencapai matlamat yang suci ini.

Sempena dengan peperiksaan yang semakin hampir ini, saya menyeru kepada diri saya dan sahabat - sahabat sekalian, marilah sama - sama kita berusaha bersungguh - sungguh untuk mendapat kejayaan yang cemerlang. Jadikan peperiksaan ini sebagai medan untuk kita mengulangkaji segala pelajaran yang kita perolehi sejak awal semester lalu. Saya percaya, kita semua faham bahawa peperiksaan ini bukanlah tanda aras sebenar untuk menilai tahap ilmu kita tetapi sekiranya cemerlanglah yang kita perolehi, sudah pasti ia adalah penyebab untuk kita lebih bermotivasi dalam menuntut ilmu. Jagalah kesihatan dan bantu - membantulah dalam kita menempuh medan peperangan ini...

SELAMAT BERJUANG !!!

Read more...

Wednesday, December 2, 2009

:: Banjir Besar Di Jeddah ::

Jeddah, 8 Zulhijjah : Hanya 4 jam hujan lebat mengakibatkan banjir besar dan lebih 55,000 kereta rosak dan dihanyutkan oleh air. setakat ini 120 mayat telah ditemui dan masih ramai lagi mayat yang masih belum dijumpai.

Berikut adalah rakaman peristiwa sebenar yang berlaku di bumi Jeddah.
Innalillahi wa inna ilaihi Raji'un..

peringatan daripada Allah buat manusia di muka bumi ini.Sesungguhnya kita hanyalah hamba,bila-bila masa nikmat yang dianugerahkan ini boleh ditarik balik.
Renungkan wahai sahabat sekalian,bagaimana persiapan kita untuk menghadapi saat kematian?
Kita sendiri tidak mampu menjangka,betapa sebuah negara yang muka buminya diliputi oleh keluasan padang pasir dan kering-kontang,dalam sekelip mata dilanda bah yang amat dahsyat.
Alangkah beruntungnya bagi hamba-hamba yang memikirkan hikmah di sebalik kejadian ini..






































Read more...

Monday, November 23, 2009

:: Taman Ilmu Kedua ::

:: Taman Ilmu Kedua ::

Sudah seminggu saya berada di bumi Mesir yang terkenal dengan gelaran Ardhul Kinanah. Inilah antara jadual saya setelah bergelar suami kepada mahasiswi Universiti al – Azhar. Pantang cuti saja, saya akan meredah langit biru dari Bandar Nabi Muhammad SAW menuju ke negara lembah Nil. Saya dah anggap Mesir sebagai taman ilmu dan pengalaman kedua selepas Madinah . Kebiasaannya saya akan berada di Mesir selama hampir sebulan setiap kali cuti. Cuti kali ini ialah sempena musim haji. Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya diberi peluang untuk bermusafir ke tempat orang sekerap ini dan saya percaya bahawa ini adalah pemberian yang bernilai untuk saya sentiasa berfikir dan mencedok sebanyak mungkin pengalaman untuk dijadikan pedoman dalam hidup.
Teringat saya ketika mula – mula menjejaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada tahun lepas. Suasananya berbeza dengan keadaan di Arab Saudi sama ada dari segi budaya, pakaian mahupun makanan. Walaupun kedua – duanya negara arab dan jarak perjalanannya lebih kurang sejam 45 minit, ianya tidak menjaminkan wajahnya seiras. Alah, seperti suasana negara kita dengan negara jiran walaupun kita serumpun. Kebetulan semasa kali pertama saya tiba di sini, ayahanda saya juga baru tiba dari Malaysia. Ayahanda datang dengan rakan – rakannya untuk tujuan urusan kerja. Jadi, saya dan isteri ambil peluang mengikuti rombongan ayahanda dan perkara paling seronok ialah ketika program sampingan iaitu melawat tempat – tempat sejarah dan perlancongan di sekitar Kaherah dan Iskandariah. Antara peristiwa yang saya tidak boleh lupakan ialah saya tidak mampu berkomunikasi dengan baik apabila bertemu dengan masyarakat Mesir. Bukannya saya tidak biasa bertemu dengan orang Mesir, malah guru al-Quran saya di Masjid Nabawi ialah orang Mesir. Loghat yang digunakan oleh mereka tidak mampu saya fahami dengan jelas dan mereka juga mempersoal kenapa saya tidak menggunakan laras bahasa Arab pasar. Akhirnya, khidmat isteri saya sebagai penterjemah digunakan, terutamanya ketika membeli belah. Tersenyum bangga ayahanda melihat menantunya boleh berkomunikasi dengan masyarakat Mesir.



Saya ‘Mahasiswa al – Azhar’! Seronok bila melabelkan diri sendiri dengan gelaran yang sangat diidamkan oleh kebanyakkan pelajar sekolah agama di negara kita. Apa tidaknya, institusi tersebut merupakan pusat pengajian Islam terulung di dunia dan telah melahirkan ramai sarjana Islam.

Sumbangannya dalam dunia Islam tidak boleh dinafikan dan telah diakui sejak berzaman. Kalau sebelum ini, saya hanya menziarahi beberapa ulama’ di Mansurah iaitu tempat pengajian isteri saya. Syeikh Husin sudah saya anggap sebagai ayah angkat di sini. Kagum melihat kesungguhan beliau mengajar dan mendidik pelajar Malaysia dalam ilmu Qiraat dan ilmu – ilmu lain. Tidak lupa juga nasihat dan motivasi dari Pengetua Ma’ahad Qiraat Mansurah yang menyebabkan saya sentiasa berusaha untuk tidak mengsia – siakan peluang keemasan menuntut ilmu di Madinah al – Munawwarah. Keberadaan saya di Mansurah kali ini akan saya usahakan untuk mendapat lebih dari yang sebelum ini. Bermula minggu lepas, saya telah men’daftar’ sebagai Mahasiswa Fakulti Usuluddin dan Dakwah, Universiti al – Azhar cawangan Mansurah. Setelah mendapat maklumat dan nasihat dari rakan – rakan, saya berjaya menerobos pintu pagar universiti yang tersegam gah itu walaupun dikawal oleh pengawal keselamatan! Seperti yang diberitahu oleh rakan – rakan, biasanya pengawal tidak memeriksa pelajar Malaysia kerana pelajar kita tidak pernah terlibat dengan aktiviti – aktiviti demonstrasi yang biasa dianjurkan oleh pemuda – pemuda Mesir di dalam kawasan universiti.

Ketika berada di kawasan fakulti Usuluddin dan Dakwah, saya tercari – cari kelas yang sudah memulakan sesi pengajian. Saya pun masuk ke sebuah kelas yang pelajar di dalamnya sedang tekun mendengar syarahan yang disampaikan oleh pensyarah. Lagak seperti pelajar rasmi langsung tidak dihidu oleh pensyarah yang sedang mengajar subjek Aqidah itu. Menurut rakan saya yang juga penuntut di kelas tersebut, pensyarah yang sedang mengajar kami itu pernah menjadi dekan di Universiti Islam Imam Saud di Riyadh, Arab Saudi. Kebiasaannya, pensyarah luar yang mengajar di Arab Saudi merupakan pensyarah yang hebat. Sebaik sahaja masa pertama habis, masuk pula pensyarah yang mengajar subjek Metodologi Para Muhadith. Kupasan yang disampaikan oleh pensayarah tersebut padat dan berat membuatkan pelajar terus memberi komitmen yang tinggi. Mereka tidak malu bertanya apabila tidak faham dan pensyarah tidak berat mulut untuk mengulanginya. Melihat semangat para pelajar terutamanya pelajar tempatan cukup mengagumkan saya. Lebih – lebih lagi apabila saya dimaklumkan bahawa sebahagian daripada mereka datang dari perkampungan yang jauh dan perjalanan menuju ke universiti mengambil masa sehingga dua jam. Mereka sanggup datang ke dewan kuliah setiap hari walaupun boleh dikatakan hampir semua pensyarah tidak mengambil kehadiran. Melihat gelagat mereka yang kebudak – budakkan seperti berlari dalam kelas dan ada yang berjalan atas meja membuatkan saya terpinga – pinga dan tersenyum . Mungkin disebabkan kedudukan kerusi dan meja yang begitu rapat menyebabkan mereka menggunakan cara pintas untuk mudah bergerak. Kalau di negara kita, pasti orang macam tu kita tak lantik sebagai imam atau ustaz…

Ilmu dan umat Islam…Islam adalah agama yang benar. Agama ini pernah merekodkan dalam lipatan sejarah bahawa dunia ini telah dikuasainya. Antara sebab mengapa Islam boleh berbangga dengan kepesatan pengaruhnya di merata tempat ialah kerana kepesatan ilmu - ilmunya. Ilmu sebagai elemen yang sangat penting untuk manusia memandu kehidupan ini demi mencari keredhaan Allah SWT. Kegemilangan yang dikecapi oleh umat Islam diakui oleh dunia barat dan mereka sanggup merendah diri untuk sama – sama menumpang kekuatan tersebut. Tapi disebabkan kelalaian umat Islam dan kesungguhan orang kafir, akhirnya ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh umat Islam telah bertukar tangan. Lihatlah situasi umat Islam sekarang yang sentiasa ditindas. Ilmu yang ada pun tak mampu dipraktikan secara menyeluruh dalam kehidupan. Kita dapat saksikan betapa ramai cendekiawan Islam dilahirkan tetapi idea – idea dan saranan - saranan mereka langsung tidak mendapat tempat di hati – hati pihak yang mempunyai autoriti untuk menguruskan sistem kehidupan. Kesan sekularisme yang menebal dalam masyarakat Islam menyebabkan pengaruh agama dikesampingkan dan diletakkan dalam kelas kedua. Oleh yang demikian, marilah sama – sama kita berusaha untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan kita hendaklah bergabung tenaga untuk mempraktikan segala ilmu yang kita ada demi menegakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi…


Read more...

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP