Saturday, November 21, 2009

:: SEBAIK-BAIK HARI ::


Tatkala orang Muslim bertemu dengan hari – hari yang mulia, maka mereka akan mengambil kesempatan sebaik - baiknya untuk meningkatkan amal ibadat mereka. Mereka bertemu dengan hari – hari yang dijanjikan pelbagai kelebihan – kelebihan itu dengan keazaman yang benar untuk bersungguh – sungguh memenuhinya dengan perkara - perkara yang diredhai Allah.

Barangsiapa yang membenarkan Allah maka Allah akan membenarkannya:

Firman Allah dalam Surah Al-Ankabut Ayat 69 yang bermaksud :
" Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) kami, benar- benar akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. dan Sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.."
( Surah Al-Ankabut:69)



:: KELEBIHAN SEPULUH HARI PERTAMA ZUL-HIJJAH::

Firman Allah dalam Surah Al-Fajr Ayat 1-2 yang bermaksud :
1- "Demi fajar,
2- "Dan malam yang sepuluh.." ** (Surah Al-Fajr:1-2)


**malam yang sepuluh itu ialah malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan. dan ada pula yang mengatakan sepuluh yang pertama dari bulan Muharram termasuk di dalamnya hari Asyura. ada pula yang mengatakan bahwa malam sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama bulan Zulhijjah.

*Pendapat yang mengatakan malam sepuluh itu ialah malam pertama bulan Zul-Hijjah ialah dari Ibnu Kathir dan boleh merujuknya dalam tafsir al-Quran alAzim oleh Imam Ibnu Kathir.

Nabi SAW bersabda yang mafhumnya:
" Tiada hari-hari yang amalan soleh dilakukan padanya lebih Allah suka daripada hari – hari sepuluh ini." Maka berkata para sahabat: "Wahai Rasulullah, tidakkah jihad di jalan Allah? " Maka Nabi SAW berkata: " bukan jihad di jalan Allah kecuali seseorang yang keluar dengan dirinya dan hartanya dan tidak pulang daripadanya dengan sesuatu. "
(Bukhari dan Abu Daud dan lafaz Abu Daud)



Sebahagian ulama berkata:
~ Sepuluh hari pertama Zul-Hijjah adalah sebaik – baik hari dalam setahun dan malam – malamnya lebih baik daripada malam – malam sepuluh terakhir Ramadhan kecuali Lailatul Qadar.


::JENIS-JENIS AMALAN SOLEH PADA 10 HARI PERTAMA ZUL-HIJJAH ::
1. Perbanyakkan amalan soleh seperti bertaubat nasuha, baca al-Quran, perbanyakkan
sedekah dan infaq kepada golongan miskin, menyeru kepada kebaikan dan mencegah
kemungkaran, segerakan amalan fardhu, segera ke saff awal, perbanyakkan amalan – amalan
sunat dan lain – lain lagi. Lakukanlah semua ini pada hari – hari mulia ini dan hari – hari lain
.

2. Berpuasa pada hari – hari ini atau setakat yang mampu sebagai memasukinya dengan amalan
yang soleh.
3. Menunaikan umrah dan haji.
4. Perbanyakkan zikrullah dan di antaranya ialah dengan cara bertakbir, bertahlil dan
bertahmid.


Sebahagian riwayat dalam hadith yang bermaksud:
…" Maka perbanyakkan di dalamnya dengan tahlil, takbir dan tahmid."( Riwayat Ahmad)

Disunatkan untuk menzahirkan takbir di masjid – masjid, rumah – rumah, jalan – jalan,
pasar – pasar dan di mana – mana sahaja.


Telah berkata Imam Bukhari ra:
" Ibnu Umar dan Abu Hurairah pernah keluar ke pasar pada sepuluh hari pertama Zul-Hijjah sambil bertakbir dan orang sekeliling turut serta bertakbir"
( dicatat oleh Imam Bukhari dalam Sahihnya)

~ Takbir terbahagi kepada dua jenis iaitu mutlak dan muqaiyad.
~Takbir mutlak ialah
mengalunkan takbir pada setiap waktu malam dan pagi bermula dari mulanya masuk Zul-
Hijjah sehinggalah akhir hari – hari tasyriq (hari ke-13 Zul-Hijjah).

~Manakala takbir muqaiyad ialah mengalunkan takbir selepas setiap kali solat fardhu bermula dari solat Subuh pada Hari
Arafah (9 Zul-Hijjah) sehinggalah solat Asar pada 13 Zul-Hijjah.

~Terdapat beberapa lafaz atau bacaan dalam takbir dan di antaranya ialah apa yang dinyatakan oleh Ibnu Mas’ud ra iaitu:
الله أكبر الله أكبر لا إله إلا الله و الله أكبر الله أكبر و لله الحمد



::’IDUL ADHA::
Hari Raya ‘Idul Adha merupakan salah satu perayaan yang dianjurkan dalam Islam. Umat Islam diseru untuk meraikannya dengan penuh kegembiraan sebagai tanda kesyukuran kita kepada Allah SWT. Ketika kita meraikannya, adab dan hukum – hukum berkenaan dengannya hendaklah dijaga. Di antara adab dan hukum – hukum ketika menyambut perayaan ‘Idul Adha ialah:


1. Kita diharamkan untuk berpuasa pada hari tersebut dan pada hari – hari tasyriq (11-13 Zul-
Hijjah) sebagaimana yang dilarang oleh Nabi SAW.
2. Segerakan solat sebagaimana sabda Nabi SAW pada hari Raya ‘Idul Adha yang bermaksud:
" Sesungguhnya perkara pertama yang kami mulakan pada hari kami ini ialah dengan kami
bersolat…"
( Bukhari).
3. Bertakbir. Disunatkan bagi lelaki untuk menguatkan laungan takbir di masjid – masjid, pasar – pasar, rumah – rumah dan selepas solat sebagai mengagungkan Allah serta menunjukkan
pengabdian dan tanda kesyukuran.
4. Memakai pakaian yang terbaik dengan tanpa membazir.

Telah berkata Ibnu Qaim ra:
"Nabi SAW pernah memakai untuk keduanya (Hari Raya ‘Idul Fitri dan ‘Idul Adha) dengan pakaian yang paling cantik dan Nabi SAW memiliki Hullah (pakaian cantik) yang dipakai ketika kedua – dua hari raya dann hari Jumaat. Ibnu Umar pula mandi untuk menyambut kedua – dua hari raya tersebut." (Kitab Zaadul Ma’ad).
5. Manakala perempuan pula disyariatkan untuk keluar ke tempat solat dengan tidak berhiasan
dan berwangian.
6. Disunatkan solat di tempat solat raya iaitu di kawasan lapang sebagaimana yang pernah
dilakukan oleh Nabi SAW kecuali sekiranya terdapat keuzuran seperti turunnya hujan maka
solatlah di masjid.
7. Sekiranya hari raya itu jatuh pada hari Jumaat maka diringankan kepada sesiapa yang pergi
solat hari raya untuk tidak hadir ke solat Jumaat dan tunaikanlah solat Zuhur pada waktunya.
Sesungguhnya mengambil hukum ‘azimah iaitu pergi solat Jumat bersama para jemaah
adalah lebih baik sebagaimana yang dinyatakan dalam banyak hadith berkenaan perkara
tersebut.


::SIFAT SOLAT HARI RAYA 'IDUL ADHA::
~Solat sunat Hari Raya ‘Idul Adha mengandungi dua rakaat.
~Pada rakaat pertama terdapat tujuh kali takbir (tidak termasuk takbiratul ihram) dan lima kali takbir(tidak termasuk takbir perpindahan) sebelum bacaan al –Faatihah.
~Imam akan menguatkan bacaan.
~Khutbah akan berlangsung setelah selesainya solat. Digalakkan hadir ketika khutbah dan mengambil pengajaran daripadanya.
~ Jalan yang bertentangan. Digalakkan pulang dari tempat solat dengan melalui jalan selain
dari jalan yang dilalui ketika hendak ke tempat solat sebagaimana yang pernah dilakukan oleh
Nabi SAW.
~Sembelihan korban dijalankan setelah selesainya solat sunat Hari Raya ‘Idul Adha.
~Digalakkan untuk mempamerkan kegembiraan hari raya dengan permainan dan nyanyian yang dibenarkan.( sunyi dari seni kata yang berunsur cinta dan kata – kata yang tidak elok).
~Menjamu tetamu dengan makanan pada hari tersebut dan hari – hari tasyriq.


1 comments:

Anonymous,  Dec 1, 2009, 11:48:00 AM  

pengisian yang menarik!

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP