Monday, November 23, 2009

:: Taman Ilmu Kedua ::

:: Taman Ilmu Kedua ::

Sudah seminggu saya berada di bumi Mesir yang terkenal dengan gelaran Ardhul Kinanah. Inilah antara jadual saya setelah bergelar suami kepada mahasiswi Universiti al – Azhar. Pantang cuti saja, saya akan meredah langit biru dari Bandar Nabi Muhammad SAW menuju ke negara lembah Nil. Saya dah anggap Mesir sebagai taman ilmu dan pengalaman kedua selepas Madinah . Kebiasaannya saya akan berada di Mesir selama hampir sebulan setiap kali cuti. Cuti kali ini ialah sempena musim haji. Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya diberi peluang untuk bermusafir ke tempat orang sekerap ini dan saya percaya bahawa ini adalah pemberian yang bernilai untuk saya sentiasa berfikir dan mencedok sebanyak mungkin pengalaman untuk dijadikan pedoman dalam hidup.
Teringat saya ketika mula – mula menjejaki ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah pada tahun lepas. Suasananya berbeza dengan keadaan di Arab Saudi sama ada dari segi budaya, pakaian mahupun makanan. Walaupun kedua – duanya negara arab dan jarak perjalanannya lebih kurang sejam 45 minit, ianya tidak menjaminkan wajahnya seiras. Alah, seperti suasana negara kita dengan negara jiran walaupun kita serumpun. Kebetulan semasa kali pertama saya tiba di sini, ayahanda saya juga baru tiba dari Malaysia. Ayahanda datang dengan rakan – rakannya untuk tujuan urusan kerja. Jadi, saya dan isteri ambil peluang mengikuti rombongan ayahanda dan perkara paling seronok ialah ketika program sampingan iaitu melawat tempat – tempat sejarah dan perlancongan di sekitar Kaherah dan Iskandariah. Antara peristiwa yang saya tidak boleh lupakan ialah saya tidak mampu berkomunikasi dengan baik apabila bertemu dengan masyarakat Mesir. Bukannya saya tidak biasa bertemu dengan orang Mesir, malah guru al-Quran saya di Masjid Nabawi ialah orang Mesir. Loghat yang digunakan oleh mereka tidak mampu saya fahami dengan jelas dan mereka juga mempersoal kenapa saya tidak menggunakan laras bahasa Arab pasar. Akhirnya, khidmat isteri saya sebagai penterjemah digunakan, terutamanya ketika membeli belah. Tersenyum bangga ayahanda melihat menantunya boleh berkomunikasi dengan masyarakat Mesir.



Saya ‘Mahasiswa al – Azhar’! Seronok bila melabelkan diri sendiri dengan gelaran yang sangat diidamkan oleh kebanyakkan pelajar sekolah agama di negara kita. Apa tidaknya, institusi tersebut merupakan pusat pengajian Islam terulung di dunia dan telah melahirkan ramai sarjana Islam.

Sumbangannya dalam dunia Islam tidak boleh dinafikan dan telah diakui sejak berzaman. Kalau sebelum ini, saya hanya menziarahi beberapa ulama’ di Mansurah iaitu tempat pengajian isteri saya. Syeikh Husin sudah saya anggap sebagai ayah angkat di sini. Kagum melihat kesungguhan beliau mengajar dan mendidik pelajar Malaysia dalam ilmu Qiraat dan ilmu – ilmu lain. Tidak lupa juga nasihat dan motivasi dari Pengetua Ma’ahad Qiraat Mansurah yang menyebabkan saya sentiasa berusaha untuk tidak mengsia – siakan peluang keemasan menuntut ilmu di Madinah al – Munawwarah. Keberadaan saya di Mansurah kali ini akan saya usahakan untuk mendapat lebih dari yang sebelum ini. Bermula minggu lepas, saya telah men’daftar’ sebagai Mahasiswa Fakulti Usuluddin dan Dakwah, Universiti al – Azhar cawangan Mansurah. Setelah mendapat maklumat dan nasihat dari rakan – rakan, saya berjaya menerobos pintu pagar universiti yang tersegam gah itu walaupun dikawal oleh pengawal keselamatan! Seperti yang diberitahu oleh rakan – rakan, biasanya pengawal tidak memeriksa pelajar Malaysia kerana pelajar kita tidak pernah terlibat dengan aktiviti – aktiviti demonstrasi yang biasa dianjurkan oleh pemuda – pemuda Mesir di dalam kawasan universiti.

Ketika berada di kawasan fakulti Usuluddin dan Dakwah, saya tercari – cari kelas yang sudah memulakan sesi pengajian. Saya pun masuk ke sebuah kelas yang pelajar di dalamnya sedang tekun mendengar syarahan yang disampaikan oleh pensyarah. Lagak seperti pelajar rasmi langsung tidak dihidu oleh pensyarah yang sedang mengajar subjek Aqidah itu. Menurut rakan saya yang juga penuntut di kelas tersebut, pensyarah yang sedang mengajar kami itu pernah menjadi dekan di Universiti Islam Imam Saud di Riyadh, Arab Saudi. Kebiasaannya, pensyarah luar yang mengajar di Arab Saudi merupakan pensyarah yang hebat. Sebaik sahaja masa pertama habis, masuk pula pensyarah yang mengajar subjek Metodologi Para Muhadith. Kupasan yang disampaikan oleh pensayarah tersebut padat dan berat membuatkan pelajar terus memberi komitmen yang tinggi. Mereka tidak malu bertanya apabila tidak faham dan pensyarah tidak berat mulut untuk mengulanginya. Melihat semangat para pelajar terutamanya pelajar tempatan cukup mengagumkan saya. Lebih – lebih lagi apabila saya dimaklumkan bahawa sebahagian daripada mereka datang dari perkampungan yang jauh dan perjalanan menuju ke universiti mengambil masa sehingga dua jam. Mereka sanggup datang ke dewan kuliah setiap hari walaupun boleh dikatakan hampir semua pensyarah tidak mengambil kehadiran. Melihat gelagat mereka yang kebudak – budakkan seperti berlari dalam kelas dan ada yang berjalan atas meja membuatkan saya terpinga – pinga dan tersenyum . Mungkin disebabkan kedudukan kerusi dan meja yang begitu rapat menyebabkan mereka menggunakan cara pintas untuk mudah bergerak. Kalau di negara kita, pasti orang macam tu kita tak lantik sebagai imam atau ustaz…

Ilmu dan umat Islam…Islam adalah agama yang benar. Agama ini pernah merekodkan dalam lipatan sejarah bahawa dunia ini telah dikuasainya. Antara sebab mengapa Islam boleh berbangga dengan kepesatan pengaruhnya di merata tempat ialah kerana kepesatan ilmu - ilmunya. Ilmu sebagai elemen yang sangat penting untuk manusia memandu kehidupan ini demi mencari keredhaan Allah SWT. Kegemilangan yang dikecapi oleh umat Islam diakui oleh dunia barat dan mereka sanggup merendah diri untuk sama – sama menumpang kekuatan tersebut. Tapi disebabkan kelalaian umat Islam dan kesungguhan orang kafir, akhirnya ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh umat Islam telah bertukar tangan. Lihatlah situasi umat Islam sekarang yang sentiasa ditindas. Ilmu yang ada pun tak mampu dipraktikan secara menyeluruh dalam kehidupan. Kita dapat saksikan betapa ramai cendekiawan Islam dilahirkan tetapi idea – idea dan saranan - saranan mereka langsung tidak mendapat tempat di hati – hati pihak yang mempunyai autoriti untuk menguruskan sistem kehidupan. Kesan sekularisme yang menebal dalam masyarakat Islam menyebabkan pengaruh agama dikesampingkan dan diletakkan dalam kelas kedua. Oleh yang demikian, marilah sama – sama kita berusaha untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai disiplin ilmu dan kita hendaklah bergabung tenaga untuk mempraktikan segala ilmu yang kita ada demi menegakkan kalimah Allah di tempat yang tertinggi…


4 comments:

Anonymous,  Dec 1, 2009, 11:40:00 AM  

MABRUK!

Raisul Fadhla bin Safiruddin Dec 3, 2009, 9:56:00 AM  

Bakal ulama memang kena banyak 'curi' masa untuk mengaji. Imam Nawawi sampai tak sempat nak kahwin sebab mengaji. Nta ni kira bertuah la dapat kahwin lagi awal daripada ana dan abang-abang kita. :D

Lagi satu kelebihan nta lepas kahwin kan, .... Segan ana nak bagi tau! Kang nta marah pulak! :D

Nta dan abang Azhar dah join fb? Klo dah, add ana tau! E-mail ana ibn_safir@yahoo.com.

asshik Dec 4, 2009, 7:05:00 AM  

pandai nta mengusik org ya! nta pulak, bila nak bina masjid?

ha, ana tau sangat kelebihan yg nta maksudkan tu...nta pun ada juga kelebihan tu walaupun belum kahwin :-)

Harap dapat jumpa nta lagi.rindu sangat kat nta!!!

asshik Dec 4, 2009, 7:09:00 AM  

emm, fb? belum ada lagi. Setakat ni tak ada masa nak buat dan bagi komitmen kat fb. email dan blog pun susah nak buka :-)

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP